Thursday, August 2, 2018

KATA TUNGGAL



Kata Tunggal

Bentuk kata tunggal ialah bentuk kata yang berdiri sendiri tanpa menerima sebarang imbuhan atau tidak mengalami proses penggandaan dan pemajmukan.
Menurut Tatabahasa Dewan, terdapat sekurang-kurangnya dua jenis kata tunggal, iaitu kata tunggal yang mengandungi hanya satu suku kata dan kata tunggal yang mengandungi dua suku kata atau lebih. Jika dilihat dari segi penyukuan kata, perkataan boleh mengandungi satu suku kata atau beberapa suku kata.
Sesuatu suku kata boleh terdiri daripada satu vokal (V) sahaja, satu vokal disertai satu konsonan (K), atau satu vokal dengan beberapa konsonan. Konsonan-konsonan itu hadir di hadapan atau di belakang vokal atau serentak dihadapan dan di belakang. Ada konsonan yang boleh hadir secara bergugus (KK).
Dalam bahasa Melayu, proses pembentukan kata tunggal boleh dilihat melalui pola vokal dan konsonan dalam sesuatu kata. Pembentukan kata tunggal terhasil melalui gabungan vokal dan konsonan yang akan dijelaskan seperti berikut:


(a) Kata Tunggal Satu Suku Kata

Berdasarkan penelitian terhadap Kamus Dewan Edisi Ketiga (1996), jumlah keseluruhan kata tunggal dengan satu suku kata dalam bahasa Melayu sangat terhad, iaitu antara 500-1000 kata sahaja. Kebanyakan perkataan tersebut merupakan kata pinjaman daripada bahasa-bahasa asing, terutamanya bahasa Arab, bahasa Inggeris, dan bahasa Jawa.
Pola pembentukan kata tunggal bahasa Melayu dengan satu suku kata adalah seperti berikut:

1. KV (ya, yu)
2. VK (am)
3. KVK (tin, sen)
4. KKVK (gred, graf)
5. KVKK (golf, bank)
6. KKKV (skru)
7. KKKVK (skrip)

(b) Kata Tunggal Dua Suku Kata

Terdapat banyak perkataan bahasa Melayu yang terdiri daripada dua suku kata. Antara pola-pola kata tunggal dengan suku kata adalah seperti yang berikut:

1. V + KV (ini, apa)
2. V + VK (air, aur)
3. V + KVK (alas, ulat)
4. VK + KV (asli, anda)
5. VK + KVK (indah, umbut)
6. KV + V (dia, doa)
7. KV + VK (luas, laut)
8. KV + KV (bata, kata)
9. KV + KVK (kapak, telus)
10. KVK + KV (bantu, serta)
11. KVK + KVK (jemput, sandar)

c) Kata Tunggal Tiga Suku Kata

Dibandingkan dengan kata tunggal dua suku kata, jumlah kata tunggal dengan tiga suku kata agak kecil. Namun demikian pola-pola susunan konsonan-vokalnya agak banyak. Jika diperhatikan perkataan-perkataan tiga suku kata ini banyak daripadanya ialah kata-kata pinjaman (Nik Safiah Karim et al. 2009). Antara pola-polanya:

1. KV + V + KV (suara, tiada)
2. KV + V + KVK (kaedah, ziarah)
3. V + KV + V (idea, asia)
4. KV + KV + V (peria, petai)
5. KVK + KV + V (pantai, santai)
6. KV + KV + VK (keluar, seluar)
7. KVK + KV + VK (berlian, tempias)
8. V + KV + KV (usaha, azali)
9. V + KV + KVK (alamat, akibat)
10. VK + KV + KV (asmara, antara)
11. KV + KV + KV (budaya, sutera)
12. KVK + KV + KV (kembara, misteri)
13. VK + KV + VK (ilmiah, ikhtiar)
14. V + KV + VK (akaun, amaun)
15. KV + KV + KVK (selaput, kelawar)
16. KVK + KV + KVK (mahkamah, sembilan)
17. KV + KVK + KV (terumbu, kelambu)
18. KVK + KVK + KV (sempurna)
19. KV + KVK + KVK (kelompok, pelantar)

(d) Kata Tunggal Empat Suku Kata dan Lebih

Terdapat sebilangan kecil kata tunggal yang terdiri daripada empat suku kata dan lebih. Kebanyakan perkataan ini ialah kata pinjaman. Antara contoh-contohnya:

1. KVK + KV + VK + KV (biduanda, keluarga)
2. KV + KVK + KV + KV (bijaksana, peristiwa)
3. KVK + KV + KV + KV (bendahari, sandiwara)
4. KVK + KV + V + KV (sentiasa)
5. KV + KV + KV + KV (samudera, selesema)
6. KV + KV + KV + KVK (muzakarah, kapitalis)
7. KVK + KV + KV + KVK (sentimeter)
8. KVK + KVK + KV + KV (dispensari, singgahsana)
9. KV + KV + V + KVK (mesyuarat, nasional)
10. V + KV + KVK + KV + KV (universiti)
11. KVK + KV + KV + KV + KVK (kosmopolitan)
12. KV + KV + KV + KV + KV + KV (maharajalela)

[NOTA] KATA TUNGGAL

21/08/11


Bentuk kata tunggal ialah bentuk kata yang terdiri daripada hanya satu bentuk kata dasar yakni tidak menerima apa-apa bentuk imbuhan atau kata dasar lain. Kebanyakan kata tunggal dalam Bahasa Melayu mempunyai potensi untuk diperluaskan dengan bentuk terbitan.

Kata tunggal boleh terdiri daripada satu suku kata dan dua atau lebih suku kata.

Contoh:
satu suku kata – am, dan, roh, skru
dua suku kata – itu, ubi, aku
Berasaskan perlaksanaan tatabahasa, kata tunggal dapat dibahagikan kepada tiga jenis:
  • Kata tunggal yang merupakan unit bebas dan dapat berdiri sendiri sebagai satu perkataan yang bermakna. Contoh : orang, gitar, pen, botol
  • Kata tugas, iaitu unit yang yang tidak dapat berdiri sendiri tetapi memerlukan sekurang-kurangnya satu unit yang bebas untuk melaksanakan tugas nahunya. Contoh : dari, dan, pada, demi, untuk
  • Kata akronim, iaitu perkataan yang diterbitkan melalui proses penggabungan beberapa perkataan dan membentuk satu perkataan yang utuh. Bentuk-bentuk singkatan ini terdiri daripada suku kata atau huruf-huruf tertentu.

Contoh :
berdikari – berdiri di atas kaki sendiri
komuter – keretapi berkomputer
kugiran – kumpulan gitar rancak
pawagam – panggung wayang gambar

No comments:

Post a Comment

KATA GANTI NAMA

KATA NAMA > KATA GANTI NAMA <<   KLIK SINI   untuk kembali ke halaman sebelumny...