Thursday, August 2, 2018

proses pembentukan kata

proses pembentukan kata

1.0              PENGENALAN

Kata baru biasanya muncul dalam dalam suatu bahasa untuk mendukung konsep atau perkara yang baru timbul dalam masyarakat pengguna bahasa itu (Nik Safiah 1989: 239).

Apabila masyarakat berkembang, banyaklah konsep, benda, proses, keadaan atau kejadian baru yang memerlukan kata baru untuk mengungkapnya. Akmajian (1995; 24) turut menjelaskan bahawa kemasukan kata baru ini kerap kali berlaku apabila penutur mencipta kata baru untuk menamai objek yang tidak wujud sebelumnya yang terhasil daripada perubahan teknologi.

            Kata atau istilah dapat dibentuk melalui pelbagai proses seperti pengimbuhan, penambahan, analogi, akronim, peluasan makna, penterjemahan dan peminjaman (Amat Juhari 1985). Menurut Sager (1996), pembentukan kata dapat terdiri daripada penggabungan fonem atau morfem yang benar- benar baru. Malah, menurut Umar (1987), tidak ada pembentukan kata baru sama sekali jika pembentukan kata itu tidak dihubungkan dengan peminjaman atau penggunaan kata lama secara baru. Oleh itu, pembentukan kata biasanya bergantung pada unsur leksikal yang sedia ada. Kebergantungan pada unsur yang sedia ada ini terjadi apabila suatu bahasa itu tidak mempunyai ungkapan yang tepat untuk tujuan tertentu dan penutur biasanya menerima ungkapan sedia ada dan meluaskan maknanya. 

            Secara amnya, teori bahasa sesuatu bahasa ialah tatabahasa. Tatabahasa bahasa menjadi asas untuk penglahiran bahasa yang indah dan mudah difahami oleh penggunanya.  Oleh itu bahasa dapat diekplotasikan untuk mewujudkan gaya dan laras bahasa yang tersendiri.  Dengan itu, bahasa mestilah tepat, lengkap, tuntas, lugas dan mudah difahami serta mencerminkan kebolehan dalaman penutur jati yang ideal.

2.0       DEFINISI PEMBENTUKAN KATA

Nik Safiah Karim (2010), mendefinisikan perkataan ialah satu unit ujaran yang bebas dan mengandungi makna yang terdiri daripada satu atau gabungan beberapa bentuk bunyi bahasa. Perkataan dapat dibahagikan kepada empat jenis iaitu kata tunggal, kata terbitan, kata majmuk dan kata ganda. Pembentukan kata dapat dilihat dari segi unsur-unsur  yang membentuknya, yakni unsur-unsur yang bagaimana dan juga hubungan paradigmatik antara unsur-unsur berkenaan. Unsur-unsur yang mendirikan kata adalah morfem dan penelitian tentang gabungan morfem menjadi kata itulah yang dikenal sebagai morfologi.

3.0.      PERBANDINGAN

Dalam buku Tatabahasa Dewan Edisi Ketiga (2010), Nik Safiah Karim menyebut cara membentuk perkataan ini sebagai pembentukan katamanakala Abdullah Hassan di dalam Linguistik Am (2007), menyebutnya sebagai menerbitkan perkataan. Walaupun istilahnya berbeza tetapi membawa maksud yang sama iaitu tentang proses bagaimana cara membentuk perkataan dalam bahasa Melayu

Menurut Nik Safiah Karim (2010), bahasa Melayu mempunyai beberapa cara membentuk perkataannya iaitu:

i)        Bentuk kata tunggal.

ii)      Bentuk kata terbitan.

iii)    Bentuk kata majmuk

iv)    Bentuk kata ganda.

Mengikut buku Linguisti Am (2007),  pula Abdullah Hassan menyenaraikan tiga kaedah menerbitkan kata iaitu:

i)        Pengimbuhan.

ii)      Penggandaan

iii)    Pemajmukan

3.1       Bentuk Kata Tunggal

Menurut Nik Safiah Karim (2010), perkataan- perkataan dalam bahasa Melayu yang tidak menerima sebarang imbuhan atau tidak mengalami proses penggandaan dan perangkaian tergolong ke dalam jenis kata tunggal. Kata tunggal ini pula dibahagikan kepada beberapa jenis kata tunggal iaitu:

i)        Kata tunggal satu suku kata.

ii)      Kata tunggal dua suku kata 

iii)    Kata tunggal tiga suku kata.

iv)    Kata tunggal empat suku kata dan lebih.

Walaupun terdapat kata tunggal yang tidak pernah menerima apa-apa imbuhan seperti ini, itu, sini dan sana. Namun kebanyakan kata tunggal dalam bahasa Melayu mempunyai potensi untuk diperluas dan menjadi bentuk terbitan. Jika dilihat dari segi penyukuan kata, perkataan boleh mengandungi daripada satu suku kata atau beberapa suku kata. Sesuatu suku kata boleh terdiri daripada satu vokal sahaja atau vokal disertai satu konsonan atau satu vokal dengan beberapa konsonan. Konsonan- konsonan itu hadir di hadapan atau di belakang vokal atau serentak di hadapan dan di belakang. Ada konsonan yang boleh hadir secara bergugus (KK).

3.1.1    Kata tunggal satu suku kata.

Jumlah kata tunggal dengan satu suku kata dalam bahasa Melayu agak terhad. Ada antaranya merupakan pinjaman daripada bahasa asing terutamanya bahasa Arab dan bahasa Inggeris. Ada juga perkataan yang merupakan kependekan bagi perkataan dua suku kata atau lebih. Misalnya ku untuk aku dan tu untuk itu. Tetapi perkataan sedemikian tidak dianggap perkataan satu suku kata. 

3.1.2    Kata tunggal dua suku kata.

Sebahagian besar daripada perkataan dalam bahasa Melayu terdiri daripada dua suku kata. Antara pola kata tunggal dengan dua suku kata adalah seperti aku, aur, angka, indah, tua, kuih, guru, bakul, bangsa dan bintang.

3.1.3    Kata tunggal tiga suku kata

Jumlah kata tunggal dengan tiga suku kata agak kecil jika dibandingkan dengan kata tunggal dua suku kata. Namun begitu, pola- pola susunan konsonan- vokalnya  agak banyak. Kebanyakan perkataan tiga suku kata ini terdiri daripada kata- kata pinjaman. Contohnya, tuala, ziarah, idea, deria, azali, istanasutera, jendela, akaun dan gelombang.

3.1.4    Kata tunggal empat suku kata dan lebih.

Terdapat sebilangan kecil kata tunggal yang terdiri daripada empat suku kata dan lebih. Kebanyakan perkataan ini ialah kata pinjaman. Antara contohnya ialah keluarga, bijaksana, mandalika, dinihari, kapitalis, universiti dan maharajalela. 

            Selain itu, kata akronim juga tergolong ke dalam jenis kata tunggal. Kata akronim boleh ditulis dengan cara:

i)        Gabungan beberapa huruf awal rangkai kata – ABIM

ii)      Gabungan suku kata dengan huruf awal atau dengan suku kata – Mara

iii)    Gabungan suku kata dengan suku kata – tabika

Daripada contoh- contoh di atas, jelas kelihatan bahawa cara pembentukan kata akronim sebagai satu proses pemendekan dan penggabungan untuk membentuk kata mempunyai potensi dalam bahasa Melayu. Tetapi, pembentukkannya agak longgar iaitu tidak berdasarkan prinsip yang jelas. Oleh itu, proses pembentukan ini tidak digalakkan sebagai satu kaedah pembentukan kata untuk membentuk perkataan baharu atau kata istilah dalam bahasa Melayu. Abdullah Hassan tidak menyatakan cara pembentukan kata melalui bentuk kata tunggal di dalam buku Linguistik Am.

3.2       Bentuk  Kata Terbitan / Pengimbuhan

Di dalan buku Tatabahasa Dewan (2010), Nik Safiah Karim menerangkan kata terbitan ialah bentuk perkataaan yang dihasilkan melalui proses pengimbuhan iaitu proses menggandingkan imbuhan pada kata dasar. Pengimbuhan ini melahirkan bentuk perkataan yang disebut kata terbitan. Imbuhan terdiri daripada morfem terikat sementara kata dasar ialah bentuk morfem bebas yang dapat menerima imbuhan. Hanya segelintir kata dasar merupakan morfem terikat yang disebut akar. Imbuhan ialah bentuk morfem yang tidak boleh hadir bersendirian dalam ayat iaitu harus diimbuhkan pada bentuk yang lain yang merupakan kata dasar. Berdasarkan kepada kedudukannya pada kata dasar, imbuhan dapat dibahagikan kepada empat jenis iaitu :

i)        Kata terbitan berawalan (hadir sebelum kata dasar).

-          Awalan kata nama.

-          Awalan kata kerja

-          Awalan kata adjektif

ii)      Kata terbitan berakhiran (hadir sesudah kata dasar).

-          Akhiran kata nama

-          Akhiran kata kerja

iii)    Kata terbitan berapitan (hadir secara mengapit kata dasar).

-          Apitan kata nama

-          Apitan kata kerja

-          Apitan kata adjektif

iv)    Kata terbitan bersisipan (hadir dicelah kata dasar).

-          Kata nama

-          Kata adjektif

-          Kata kerja

Manakala Abdullah Hassan (2007), menyebut kata terbitan sebagai pengimbuhan. Pengimbuhan ialah proses membentuk perkataan. Ia dilakukan dengan mencantumkan imbuhan kepada kata dasar. Kata dasar ialah perkataan major yang menerima imbuhan. Kata dasar juga boleh terdiri daripada morfem bebas atau terikat atau satu perkataan terbitan hasil daripada pengimbuhan, penggandaan dan pemajmukan. Imbuhan adalah morfem terikat iaitu morfem yang tidak dapat berlaku sendiri. Imbuhan mesti dicantumkan kepada kata dasar terlebih dahulu. Imbuhan terdiri daripada :

i)        Awalan (dicantumkan pada pangkal kata dasar)

ii)      Akhiran (dicantumkan pada akhir kata dasar)

iii)    Sisipan (disisip selepas konsonan pertama kata dasar)

iv)    Apitan (dicantum pada pangkal dan akhir kata dasar serentak)

Oleh itu, kita dapat melihat persamaan pendapat antara buku Tatabahasa Dewan dengan buku Linguistik Am dalam membentuk perkataan yang dihasilkan melalui proses pengimbuhan iaitu proses menggandingkan imbuhan pada kata dasar walaupun dari segi istilahnya berbeza kerana Nik Safiah menyebut kata terbitan manakala Abdullah Hassan menyebut pengimbuhan. Tetapi hakikatnya, proses yang berlaku adalah sama.

3.3       Bentuk Kata Majmuk / Pemajmukan

Menurut Tatabahasa Dewan (2010), proses pemajmukan adalah proses yang merangkaikan dua kata dasar atau lebih dan bentuk yang terhasil membawa makna yang khusus. Kata majmuk dieja terpisah dan bertindak sebagai satu unit iaitu bentuknya tidak boleh menerima sebarang penyisipan unsur lain. Misalnya, kerusi malas ialah kata majmuk kerana tidak dapat disisipkan unsur lain seperti ‘yang’. Sebaliknya pinggan mangkuk bukan kata majmuk kerana dapat diselitkan kata hubung ‘dan’. Berdasarkan jenisnya, kata majmuk dibahagikan kepada tiga kelompok iaitu:

i)        Kata majmuk yang terdiri daripada rangkaikata kata bebas.

ii)      Kata majmuk yang berbentuk istilah khusus.

iii)    Kata majmuk yang mendukung maksud kiasan.

Selain itu, terdapat sebilangan kecil bentuk kata majmuk yang penggunaannya sudah dianggap mantap sebagai satu perkataan yang utuh, walaupun bentuk kata tersebut ternyata mengandungi dua kata dasar. Perkataan yang demikian tetap dieja bercantum sebagai satu perkataan. Contohnya, antarabangsa.

Di samping itu, terdapat sejumlah perkataan yang bukan kata majmuk yang tergolong dalam golongan kata tertentu yang secara lazimnya dieja bercantum. Contohnya, peribadi, barangkali dan sukacita. Penggandaan kata majmuk melibatkan penggandaan unsure pertama sahaja. Contohnya, alat- alat tulis. Satu kecualian ialah penggandaan yang melibatkan bentuk yang telah mantap. Penggandaannya melibatkan keseluruhan unsur. Contohnya, warganegara- warganegara. Kata majmuk juga boleh menerima imbuhan untuk menghasilkan kata terbitan. Pengimbuhan kata majmuk terdapat dalam dua bentuk iaitu;

i)        Apabila kata majmuk menerima imbuhan yang merupakan awalan atau akhiran sahaja, ejaannya tetap terpisah. Contohnya, campur aduk  - bercampur aduk.

ii)      Apabila kata majmuk menerima imbuhan yang merupakan apitan, ejaannya menjadi bercantum. Contohnya, satu padu – menyatupadukan.

Dalam buku Linguistik Am pula, Abdullah Hassan menyebutnya pemajmukan. Kata majmuk ialah binaan perkataan yang lazimnya terdiri daripada dua kata. Setiap kata tersebut boleh terdiri daripada kata akar atau kata terbitan. Kata majmuk yang dihasilkan bertaraf sebagai perkataan. Ini bermakna kata majmuk tersebut mempunyai ciri- ciri kesatuan sebagai satu patah perkataan, mempunyai satu makna seperti satu perkataan dan mempunyai fungsi sebagai satu perkataan.

      Apabila kata- kata tersebut bergabung menurut hukum binaan sintaksis bahasa Melayu, iaitu diterangkan mendahului yang menerangkan, maka kita katakan binaan itu mematuhi hukum DM. Kata majmuk demikian dipanggil kata majmuk sintaktik. Contohnya ialah kaji cuaca dan sebar luas. Apabila kata majmuk itu bergabung dengan tidak menurut hukum DM, maka binaan kata majmuk demikian dipanggil kata majmuk bukan sintaktik. Contohnya ialah bumiputera dan mahasiswa. Kata bumi ialah penerang dan putera ialah inti yang diterangkan. Ini bermakna binaan ini menurut hukum MD iaitu yang menerangkan mendahului inti yang diterangkan.

Menurut Abdullah Hassan (2007), kata majmuk ialah binaan morfologi tetapi frasa ialah binaan sintaksis. Tiga ciri yang menunjukkan kata majmuk itu bukan frasa ialah:

i)        Kata majmuk mempunyai makna khas sebagai satu perkataan.

ii)      Kata majmuk mempunyai siri kesatuan sebagai satu kata.

iii)     Kata majmuk terdiri daripada satu kumpulan tertutup.

Penulisan kata majmuk dieja bergantung kepada kebiasaan. Ada yang dieja terpisah  contohnya kereta api. Ada juga kata majmuk yang dieja bergabung contohnya antarabangsa. Pandangan ini adalah sama dengan Nik Safiah kerana di dalam buku Tatabahasa Dewan terdapat 30 kata majmuk yang dieja sebagai satu perkataan. Selain itu, ada juga kata majmuk yang digandakan seluruhnya bagi menunjukkan bilangan yang banyak. Contohnya ialah kakitangan- kakitangan. Kata majmuk juga dipecahkan kepada kata nama majmuk, kata kerja majmuk, kata adjektif majmuk, kata adverba majmuk dan kata tugas majmuk.

3.4       Bentuk Kata Ganda / Penggandaan

Mengikut Nik Safiah, proses penggandaan dalam bahasa Melayu ialah proses yang menggandakan kata dasar. Dalam proses ini, kata dasar boleh mengalami penggandaan penuh, penggandaan separa dan penggandaan berentak iaitu berdasarkan rentak bunyi tertentu. Dalam bahasa Melayu terdapat tiga jenis penggandaan iaitu:

i)        Penggandaan penuh

ii)      Penggandaan separa

iii)    Penggandaan berentak

3.4.1  Penggandaan Penuh    

Penggandaan penuh ialah proses yang menggandakan keseluruhan kata dasar sama ada kata dasar itu mengandungi imbuhan ataupun tidak. 

i)        Penggandaan penuh kata tunggal – contohnya ialah ayat- ayat.

ii)      Penggandaan penuh kata berimbuhan.

-          Dengan awalan – contohnya ialah ketua- ketua.

-          Dengan akhiran – contohnya ialah ajaran- ajaran.

-          Dengan apitan – contohnya persatuan- persatuan.

3.4.2  Penggandaan separa

Penggandaan separa ialah proses yang menggandakan sebahagian kata dasar sahaja. Kata dasar boleh merupakan kata tunggal ataupun kata terbitan. 

i)        Penggandaan separa kata tunggal – contohnya ialah sesiku.

ii)      Penggandaan separa kata berimbuhan .

-          Dengan awalan kata kerja- contohnya ialah berlari- lari dan tolong- menolong.

-          Dengan awalan kata adjektif – contohnya ialah sepandai- pandai.

-          Dengan akhiran kata nama – contohnya ialah sayur- sayuran.

-          Dengan akhiran kata kerja – contohnya ialah doa- doakan.

-          Dengan akhiran kata adjektif – contohnya ialah rindu- rinduan.

-          Dengan apitan kata kerja – contohnya ialah bersalam- salaman, mendewa- dewakan, mengulang- ulangi dan dibayang- bayangi.

-          Dengan apitan kata adjektif – contohnya ialah kebodoh- bodohan.

3.4.3  Penggandaan berentak

Penggandaan berentak ialah proses yang menggandakan kata dasar mengikut rentak bunyi tertentu dalam kata dasar itu. Dalam penggandaan berentak, seluruh kata dasar digandakan dan bunyi- bunyi tertentu diulang atau diubah. Berdasarkan perubahan dan pengulangan bunyi- bunyi demikian, maka penggandaan berentak dibahagikan kepada tiga jenis iaitu:

i)        Penggandaan berentak pengulangan vokal.

ii)      Penggandaan berentak pengulangan konsonan.

iii)    Penggandaan berentak bebas.

Di dalam buku Linguistik Am (2007), Abdullah Hassan turut menyatakan proses penerbitan kata boleh berlaku melalui penggandaan manakala Nik Safiah menyebutnya sebagai bentuk kata ganda. Walaupun istilah berbeza tetapi ia membawa maksud yang sama. Pada pendapat Abdullah Hassan, penggandaan ialah proses menerbitkan perkataan dengan menggandakan kata dasar. Abdullah Hassan menyenaraikan empat jenis penggandaan menurut cara kata dasar digandakan iaitu:

i)        Gandaan penuh.

ii)      Gandaan separa.

iii)    Gandaan rentak

iv)    Gandaan bebas.

3.4.4  Gandaan Penuh.

Gandaan penuh boleh dilakukan pada kata akar dan kata terbitan daripada golongan kata nama, kata kerja dan kata adjektif.

i)        Kata Nama (membawa maksud banyak dan menyerupai). Contohnya:

-          meja- meja ( banyak meja).

-          Orang- orang (banyak orang atau lembaga orang bagi menakutkan burung di sawah)

ii)      Kata Kerja (membawa maksud perbuatan dilakukan berulang atau tidak serius). Contohnya:

-          Makan- makan (makan berterusan)

-          Main- main (main berterusan, tidak serius melakukan sesuatu)

iii)    Kata Adjektif ( membawa maksud sifat yang menyeluruh). Contohnya:

-          Putih- putih (putih belaka)

iv)    Kata Adverba (menerangkan bila dan jangka masa sesuatu perbuatan atau perihal keadaan berlaku). Contohnya:

-          Sampai- sampai (sebaik sahaja sampai)

v)      Kata Terbitan (menghasilkan perkataan kompleks). Contohnya:

-          Pemain- pemain (ramai pemain)

3.4.5  Gandaan Separa

Penggandaan separa adalah kelainan bentuk penggandaan penuh yang berlaku kepada kata nama tunggal. Seluruh kata tunggal boleh digandakan atau hanya suku kata pertama digandakan. Bunyi vokal dalam suku kata yang digandakan itu berubah menjadi e pepet. Kata ganda separa membawa maksud yang sama dengan kata ganda penuh. Contohnya:

i)        Kata Nama – laki            laki- laki         lelaki (jantan, ramai laki- laki)

ii)      Kata Kerja – tulis          tulis- tulis         tetulis ( menulis berkali- kali)

iii)    Kata Adjektif – sedap          sedap- sedap        sesedap (sedap belaka)

iv)    Kata Adverba – laju         laju- laju          lelaju (dengan laju)

3.4.6  Gandaan Rentak

Ada beberapa kata nama yang boleh menerima penggandaan rentak sama ada rentak suku kata atau berentak bunyi. Fungsi gramatis penggandaan rentak ialah menunjukkan banyak yang beraneka. Perubahan suku kata atau bunyi vokal memberi tambahan aneka kepada pengertian banyak yang sudah ada pada kata ganda tersebut. Terdapat tiga jenis penggandaan rentak iaitu :

i)        Rentak suku kata awal – bukit          bukit- bukau

ii)      Rentak suku kata akhir – lauk          lauk- pauk

iii)    Rentak bunyi vokal – suku           suku – sakat

3.4.7  Gandaan Bebas

Bentuk gandaan bebas mengandungi bentuk bebas. Bentuk kata dasar itu ada tetapi gandaannya hanya wujud dalam bentuk penggandaan sahaja. Fungsi gramatisnya juga menunjukkan banyak. Bilangan penggandaan begini tidak banyak. Contohnya  ialah:

- ipar        ipar- duai (ramai ipar)

            Rangkap kata berbeza daripada kata ganda. Dalam gandaan, ada kata dasar yang digandakan. Dalam rangkap kata, kedua- dua perkataan itu adalah perkataan lain sama sekali. Sebagai contoh cerdik pandai ialah rangkap kata. Bentuk perkataan pandai bukanlah pengganda kepada cerdik. Sebaliknya pandai ialah pasangan rangkap kepada cerdik. Oleh sebab itu, rangkap kata bukanlah kata bebas.

3.4.8  Kata Ganda dan Imbuhan

Perkataan berganda juga berlaku dengan imbuhan. Bagi kata nama, penggandaan mestilah berlaku di awal, di akhir atau mengapit kata dasar yang digandakan. Kata ganda nama boleh menerima imbuhan ber-, -an, me-…-kan dan di-…-kan. Contohnya:

i)        Dengan awalan- ber + hari- hari          berhari- hari

ii)      Dengan akhiran – ber + bunga- bunga         berbunga- bunga.

iii)    Dengan apitan – dikepal- kepalkan

iv)    Dengan awalan di tengah – rayu- merayu

4.0       RUMUSAN   

Kesimpulannya, menurut Nik Safiah Karim (2010), terdapat empat jenis pembentukan kata dalam bahasa Melayu iaitu kata tunggal, kata terbitan , kata majmuk dan kata ganda seperti yang terdapat di dalam buku Tatabahasa Dewan (2010). Manakala menurut Abdullah Hassan (2007),  pula terdapat tiga kaedah untuk menerbitkan perkataan dalam bahasa Melayu iaitu melalui pengimbuhan, penggandaan dan pemajmukan. Ini kerana di dalam buku Linguistik Am (2007), tidak ada cara menerbitkan perkataan melalui kaedah bentuk kata tunggal. Walaupun berbeza dari segi istilah tetapi kaedah pembentukannya adalah sama. 

Kaedah pembentukan perkataan seperti yang terdapat dalam bahasa Melayu ini berbeza daripada kaedah pembentukan atau mewujudkan perkataan-perkataannya melalui proses perubahan fonem (bunyi bahasa) dalam kata dasar itu sendiri dengan berdasarkan golongan  kata atau kasusnya.  

Proses pembentukan kata atau menerbitkan perkataan di antara kedua- dua buku ini hampir sama walaupun istilah yang digunakan berbeza. Contohnya, buku Tatabahasa Dewan (2010), menyebut kata terbitan manakala buku Linguistik Am (2007), menyebut perkataan pengimbuhan. Begitu juga dengan kata majmuk yang disebut sebagai pemajmukan manakala kata ganda disebut sebagai penggandaan di dalam buku Linguistik Am. 

            Selain jenis-jenis perkataan yang telah dinyatakan di atas, terdapat juga bentuk yang dihasilkan melalui proses penyingkatan kata yang menghasilkan kata tunggal jenis akronim. Menurut  Abdullah Hassan, ada tiga proses morfologi yang berlaku dalam bahasa Melayu iaitu pengimbuhan, penggandaan dan pemajmukan.  Proses ini dilakukan kepada bentuk dasar.  Dasar ini akan membentuk imbuhan apabila mengalami proses pemgimbuhan, bentuk yang digabungkan dengan bentuk perkataan lain akan menghasilkan proses pemajmukan. Begitu juga yang terjadi bagi proses penggandaan dan pengakroniman.  Ditegaskan bahawa bentuk dasar boleh terdiri daripada satu kata akar atau kata terbitan.  Kata terbitan ini pula terdiri daripada kata berimbuhan, kata ganda, kata majmuk dan kata akronim.

            Menurut Abdullah Hassan (2007), pengimbuhan ialah proses membentuk perkataan melalui proses imbuhan.  Ini dilakukan dengan mencantumkan imbuhan kepada kata dasar.  Imbuhan dalam bahasa Melayu mempunyai tiga fungsi iaitu membentuk kata terbitan, mengubah golongan kata dan mencipta perkataan baharu.  Pengimbuhan juga satu proses menerbitkan kata dengan memberikan atau mencantumkan imbuhan dengan kata dasar.  Melalui proses ini, akan terhasil kata terbitan.  Terdapat empat jenis imbuhan atau afiksasi dalam bahasa Melayu iaitu awalan ,akhiran, sisipan dan apitan. Abdullah Hassan menghuraikan pengimbuhan kata nama, kata kerja, kata adjektif dan kata adverba. Manakala Nik Safiah  hanya menghuraikan awalan kata nama, kata kerja dan kata adjektif. Selain itu, Nik Safiah membahagikan bentuk kata terbitan kepada empat iaitu kata terbitan awalan, kata terbitan akhiran, kata terbitan berapitan dan kata terbitan bersisipan. Abdullah Hassan pula membahagikan pengimbuhan kepada tiga sahaja iaitu imbuhan awalan, imbuhan akhiran dan imbuhan apitan.

            Walau bagaimanapun, dalam proses pembentukan kata melalui kata majmuk atau pemajmukan terdapat perbezaan dari segi huraian. Nik Safiah membahagikan bentuk kata majmuk kepada tiga iaitu kata majmuk yang terdiri daripada rangkaian kata, berbentuk istilah khusus dan yang mendukung maksud kiasan. Abdullah Hassan pula menghuraikan proses menerbitkan kata melalui pemajmukan dengan lebih terperinci dan membahagikannya kepada tiga iaitu kata majmuk yang mempunyai makna khusus, dari satu perkataan dan kumpulan kata majmuk tertutup. 

Untuk pembentukan kata melalui kata ganda atau penggandaan, di dalam buku Tatabahasa Dewan terdapat tiga jenis penggandaan iaitu penggandaan penuh, penggandaan separa dan penggandaan berentak. Manakala, di dalam buku Linguistik Am terdapat empat jenis penggandaan iaitu gandaan penuh, gandaan separa, gandaan rentak dan gandaan bebas. Huraian menerbitkan kata di dalam buku Linguistik Am adalah lebih terperinci.

            Oleh itu, dapatlah disimpulkan bahawa kedua- dua buku ini ada banyak perbezaan  pendapat dan huraian tentang pembentukan kata atau menerbitkan perkataan di dalam bahasa Melayu. Walau bagaimanapun, terdapat sedikit persamaan dalam sesetengah huraian dan penerangan untuk membentuk kata. Walau bagaimanapun, kedua- dua buku ini amat bermanfaat dan dapat membantu dalam mempelajari  proses pembentukan kata bahasa Melayu. Selain itu, kedua- dua buku ini amat menarik dan boleh dijadikan pegangan dalam mempelajari dan mendalami tatabahasa bahasa Melayu khususnya dalam bidang morfologi. 


     

PROSES PEMBENTUKAN KATA


1)      Definisi Pembentukan Kata:
Penghasilan kata dalam bahasa Melayu melalui proses pengimbuhan, pemajmukan, dan penggandaan.
2)      Pembahagian:
a)      Pengimbuhan
b)      Pemajmukan
c)      Penggandaan
3)      Proses Pengimbuhan
- Definisi: Proses yang menggandingkan imbuhan pada kata dasar untuk membentuk kata terbitan.
- Terdapat empat jenis imbuhan iaitu awalanakhiranapitan, dan sisipan. Imbuhan-imbuhan ini apabila digandingkan dengan kata dasar, membentuk kata terbitan daripada pelbagai golongan kata, iaitu kata nama, kata kerja, dan kata adjektif.
- Pengimbuhan boleh berlaku pada sejumlah kecil kata akar, misalnya ber-+ tapa (bertapa) dan  ke-+tawa (ketawa).
- Kebanyakan proses pengimbuhan berlaku pada kata dasar, yang menghasilkan kata terbitan.
- Kata terbitan yang dihasilkan oleh proses pengimbuhan boleh menjadi kata dasar bagi proses  pengimbuhan kali kedua. Misalnya, ter-+libat (terlibat). Terlibat + ke…an (keterlibatan).
Imbuhan Awalan.
Ø  Contoh:
Pe….pelari             pem…. pembawa                     pen….pendakwah
Peng….penggubal              penge….pengebom                  pel….pelajar
- Imbuhan Akhiran.
Ø  Contoh:
-wan….angkasawan           -man….budiman           -wati….wirawati
-in….hadirin                       -at….muslimat  - ah….ustazah
            - Imbuhan Apitan
Ø  Contoh:
Me…kan  = melaporkan                men…kan  = mendapatkan      
Ber…kan  = bertemankan              di…kan  = dipamerkan
Ke…an  = kemalasan                     memper…kan  = memperbetulkan
- Imbuhan Sisipan
Ø  Contoh:
Tunjuk….telunjuk
Gilang….gemilang
Tulang….temulang
4)      Proses Pemajmukan
Definisi: proses yang menggabungkan dua kata dasar atau lebih untuk menghasilkan satu bentuk kata yang membawa makna atau maksud tertentu.
- Makna gabungan kata ini berbeza daripada maksud asal kata tersebut.
- Kata majmuk tidak boleh menerima unsur penyisipan dalam binaannya dan mestilah dieja terpisah sebagai dua atau tiga kata.
- Terbahagi kepada tiga iaitu pemajmukan rangkai kata bebas, pemajmukan istilah khusus, dan pemajmukan bentuk kiasan.

                                i.            Pemajmukan Rangkai Kata Bebas
-         Definisi: percantuman kata-kata dasar daripada mana-mana golongan  kata dan percantuman ini membawa maksud baru kepada kata dasar tersebut.
-         Contoh:
Ø  Gambar + rajah = gambar rajah
Ø  Jalan + raya = jalan raya
Ø  Rumah + tangga = rumah tangga
Ø  Perdana + menteri = perdana menteri

                              ii.            Pemajmukan Istilah Khusus
-         Definisi: penggabungan kata-kata istilah yang berkaitan dengan bidang ilmiah.
-         Sama dengan pemajmukan rangkai kata bebas, cuma berbeza dari segi gabungan kata yang digunakan.
-         Contoh: peti suara, garis pusat, kanta sentuh, batu kapur, dan lesung sendi.
                            iii.            Pemajmukan Bentuk Kiasan
-         Penggabungan dua atau lebih kata untuk melahirkan maksud bahasa kiasan yang mempunyai makna menyindir atau mengata seseorang, misalnya peribahasa atau simpulan bahasa.
-         Merupakan gabungan kata-kata dasar tetapi mengandungi maksud yang berbeza daripada kata-kata dasar yang membentuknya.
-         Contoh: kaki ayam, kaki botol, buah tangan, muka tembok, berat tulang, dan telinga lintah.
- Pemajmukan boleh digandakan dan diberi imbuhan.
Ø  Penggandaan kata majmuk.
-         Unsur pertama kata majmuk sahaja yang digandakan sementara unsur kedua dikekalkan.
-         Contoh:
Alat tulis……alat-alat tulis
Jalan raya…..jalan-jalan raya
Garis pusat…..garis-garis pusat
              
Ø  Pengimbuhan kata majmuk
Awalan
-         Sekiranya imbuhan awalan bergabung dengan kata majmuk, kata pertama sahaja yang menerima awalan ini manakala kata kedua masih bebas.
-         Contoh: campur aduk....bercampur aduk, ambil alih....mengambil alih.

                                    Akhiran
-         Sekiranya imbuhan akhiran yang bercantum dengan kata majmuk, kata kedua sahaja yang menerima akhiran ini manakala kata pertama masig lagi bebas.
-         Contoh: daya serap……….daya serapan, garis rintang....garis rintangan.

                                     Apitan
-         Kata-kata majmuk yang menerima apitan dieja sebagai satu kata sahaja.
-         Contoh: satu padu....menyatupadukan, anak tiri....menganaktirikan.
5. Proses Penggandaan

- Ada tiga bentuk kata iaitu kata gandaan seluruh, kata gandaan separa, dan kata gandaan berentak.
Ø    Kata Gandaan Seluruh
- Gandaan seluruh ialah proses menggandakan seluruh kata dasar sama ada kata dasar tersebut berimbuhan ataupun tidak berimbuhan.
- Berlaku pada semua golongan kata, sama ada kata kerja, kata nama, kata adjektif atau kata tugas.
Contoh:
labah....labah-labah                   Orang....orang-orang                Jari....jari-jari
Ø    Kata Gandaan Separa
Sebahagian daripada kata dasar digandakan sama ada di depan atau di belakang kata dasar.
Boleh berupa kata tunggal atau kata terbitan.
- Penggandaan kata dasar tunggal.
contoh:
 kura....kekura              labi....lelabi                  rambut....rerambut
- Penggandaan kata dasar terbitan tidak melibatkan pengulangan imbuhan sebaliknya hanya kata dasar tanpa imbuhan sahaja yang akan diulang. Ia melibatkan golongan kata adjektif dan kata kerja sahaja. Kata dasar boleh terletak di bahagian depan atau belakang.
Contoh: berlari….berlari-lari, mencari….mencari-cari, kasih….kasih-mengasihi.
Ø    Kata Gandaan Berentak
Dasar kata digandakan mengikut rentak bunyi tertentu dalam kata dasar.
- Seluruh kata dasar digandakan dan bunyi-bunyi tertentu diulang atau mengalami perubahan.
- Ada tiga jenis pengulangan bunyi iaitu pengulangan vokal, pengulangan konsonan, dan pengulangan bebas.
§  Pengulangan vokal
-         Ciri-ciri vokal yang sama pada kata dasar akan diulang dalam kata yang kedua. Misalnya vokal ui, au, ua, ia.
-         Contoh:
Kuih….kuih-muih               lauk….lauk-pauk                     
Suka…suka-duka              hina….hina-dina
§  Pengulangan Konsonan
-         Hanya konsonan sahaja yang mengalami pengulangan.
-         Contoh:
Gunung….gunung-ganang               bukit….bukit-bukau
Lintang….lintang-pukang                            mandi…mandi-manda
§  Pengulangan Bebas
-         Tidak mengandungi ciri-ciri persamaan pada bunyi vokal atau bunyi konsonan.
-         Contoh:
Lemah….lemah longlai                    tinggi….tinggi lampai
Gemuk…gemuk gedempol cerdik…cerdik pandai       

No comments:

Post a Comment

KATA GANTI NAMA

KATA NAMA > KATA GANTI NAMA <<   KLIK SINI   untuk kembali ke halaman sebelumny...