Wednesday, August 1, 2018

Bahasa Melayu dalam Zaman Melaka dan Selepasnya.

SEJARAH BAHASA MELAYU

Pendahuluan Asal Usul.

Asal usul orang-orang Melayu, iaitu penutur asli bahasa Melayu, amat kabur kerana sejarah kuno Asia Tenggara masih belum diselidiki dengan mendalam. Walau bagaimanapun, kita dapat mengetahui secara kasar latar belakang dan pergerakan masyarakat Melayu kuno, iaitu nenek moyang kita.
Beberapa teori telah menyatakan bahawa penutur-penutur bahasa Melayu berasal daripada golongan manusia yang diberi nama Austronesia. Mereka datang dari daerah Yunan dan telah turun, dalam bentuk beberapa gelombang pergerakan manusia, dan menduduki wilayah Asia Tenggara. Ini berlaku sejak tahun 2500 sebelum masihi, iaitu dengan kedatangan golongan pertama yang disebut Melayu-Proto. Kemudian, kira-kira dalam tahun 1500 sebelum masihi, datang pula gelombang kedua golongan yang disebut Melayu-Deutro. Mereka ini elah menduduki daerah pantai dan tanah lembah di Asia Tenggara, dan telah memperlihatkan kepandaian belayar dan bercucuk tanam.
Oleh sebab masyarakat Austronesia tersebar luas di seluruh kepulauan Melayu dan Lautan Pasifik, maka berkembanglah tiap-tiap bahasa di daerah masing-masing. Walau bagaimanapun, di antara bahasa-bahasa yang berlainan hari ini masih dapat dilihat unsur-unsur persamaan. Bahasa Austronesia adalah satu rumpun bahasa yang tergolong ke dalam satu keluarga bahasa besar yang bernama keluarga bahasa-bahasa Austris. Di samping rumpun Austronesia, terdapat dua rumpun yang lain dalam keluarga ini, iaitu bahasa-bahasa Austroasia dan Tibet-Cina.

Rumpun bahasa Austronesia pula terbahagi kepada empat cabang, iaitu bahasa-bahasa di Kepulauan Melayu (atau Nusantara), bahasa-bahasa Polinesia, antaranya bahasa-bahasa Hawaii, Tonga dan Maori, bahasa-bahasa Melanesia, antaranya bahasa-bahasa di kepulauan Fiji, New Kaledonia dan Irian, dan bahasa-bahasa Mikronesia, antaranya bahasa-bahasa di kepulauan-kepulauan Mariana, Marshall, Carolina dan Gilbert. Secara rajah cabang-cabang rumpun bahasa Austronesia adalah seperti berikut:

Bahasa Melayu tergolong ke dalam cabang Nusantara dalam kelurga Austronesia. Cabang Nusantara mempunyai jumlah bahasa yang paling banyak, iaitu kira-kira 200-300. Oleh yang demikian bahasa-bahasa ini dapat pula dibahagikan kepada golongan-golongan tertentu, seperti yang berikut:

1. Golongan Filipina, antaranya: Tagalog, Ikolo, Bikol, Bisaya, Sulu, Palau, dan Tombulu.
2. Golongan Sumatera, antaranya; Aceh, bahasa-bahasa Batak (Karo, Toba, angkolo-Mendailing, dan lain-lain), Minangkabau, Melayu Nias, Lampung, dan Orang Laut.
3. Golongan Jawa, ialah: Sunda, Jawa, dan Madura.
4. Golongan Kalimantan, antaranya: Iban, Kenyah-Kayan, dan Melanau.
5. Golongan Bali-Sasak, iaitu: Bali, Sasak, dan Sumbawa.
6. Golongan Gorontalo, antaranya: Bulanga, Kaidipan, Gorontalo, dan Buol.
7. Golongan Tomini
8. Golongan Toraja, antaranya: Kaili, Bare’e, dan Wotu.
9. Golongan Loinang, antaranya: Loinan dan Banggai
10. Golongan Bunku-Laki, antaranya: Laki, Landawe, Mori, dan Mapute.
11. Golongan Sulawesi Selatan, antaranya: Makasar, Bugis, dan Seko.
12. Golongan Muna-Butung, antaranya: MUna-Butung, Butung Selatan, Kerompa, dan Wolio.
13. Golongan Bima-Sumba, antaranya: Bima, Manggarai, Sumba Barat dan Sumba Timur.
14. Golongan Ambon-Timur, antaranya: Kro’e, Alor, Roti, Wetar, Bura, Goram, dan Bandar.
15. Golongan Sula-Bacon, antaranya: dialek-dialek Taliabo, dialek-dialek Sula, dan bahasa Bacon.
16. Golongan Halmahera Selatan-Irian Jaya, antaranya: Halmahera Selatan, Nufur, dan Kowiai.

1.1 Bahasa Melayu Kuno
Daripada kenyataan di atas, kelihatan bahawa bahasa Melayu adalah satu daripada 200 bahasa dalam cabang Nusantara keluarga bahasa Austronesia. Bilangan penutur asalnya sederhana, iaitu yang tinggal di sekitar Semenanjung Tanah Melayu, kepulauan Riau dan di Sumatera. Tetapi sejarah telah membuktikan bahawa bahasa Melayu telah menjadi Lingua franca (bahasa perantaraan) daerah kepulauan Melayu sejak zaman berzaman. Bahasa ini digunakan sebagai bahasa perhubungan antara orang-orang yang tinggal di kepulauan Melayu dan oleh orang-orang yang mendatang, seperti pedagang-pedagang dari Eropah dan Asia Barat, dan pengembara-pengembara dari India dan China. Untuk melihat perkembangan bahasa Melayu, marilah kita tinjau keadaanya dari tarikh yang paling awal.
Seperti yang disebutkan di atas, sejarah awal kepulauan Melayu agak kabur. Tidak banyak diketahui tentang masyarakat dan bahasa orang-orang Austronesia yang datang menduduki daerah ini. Bahan-bahan sejarah yang menceritakan kemunculan beberapa kerajaan penting, terutamanya kerajaan-kerajaan Hindu, sejak dari abad pertama tahun masihi. Oleh sebab pengaruh dari India, terutamanya agama Hindu, maka bahasa Sanskrit, iaitu bahasa agama Hindu dan bahasa kelas atasan, digunakan dengan luasnya. Mengikut Ismail Hussein (1966:10-11), “melalui pengaruh bahasa Sanskrit bahasa Melayu mengalami evolusinya yang pertama… Dari bahasa masyarakat yang agak rendah kebudayaan serta ilmu pengetahuannya, bahasa Melayu mengalami perubahan pertama ke arah bahasa sarjana, yang sanggup menyampaikan idea-idea baru yang tinggi-tinggi”.
Pengaruh utama ialah dari segi perbendaharaan kata. Banyak perkataan baharu diterima masuk ke dalam bahasa Melayu, iaitu perkataan-perkataan yang menyatakan aspek-aspek kebudayaan dari India dan hal-hal yang belum dialami oleh kaum bumiputera, yang meliputi bidang-bidang seperti: nama bahagian tubuh, barang perdagangan, alat perkakas, nama binatang, tumbuh-tumbuhan dan senjata, perkataan-perkataan agama,ilmu pengetahuan dan berbagai-bagai lagi. Antara contohnya: nama tubuh badan- bahu, kepala,muka, dan rupa; barang perdagangan- neraca, laba, kedai, dan kodi; alat perkakas- bajan, pili, jala. Penjara, dan sutera; ilmu pengetahuan- guru, pujangga, bahasa, sastera, dan bijaksana; nama binatang- gajah, singa, serigala, angsa, dan kuda; tumbuh-tumbuhan-biji, cempaka, cendana, delima, dan kasturi; senjata- cemeti, sauku(cambuk), dan sena (tentera); perkataan agama-dosa, surga (syurga), neraka, agama dan puasa.
Perlu ditimbulkan di sini bahawa berkesannya pengaruh bahasa Sanskrit ke atas bahasa Melayu adalah kerana sifat bahasa Melayu yang sederhana, dan dapat dibentuk, dan dilentur untuk disesuaikan dengan segaa keadaan, dan keperluan. Bahkan jika ditinjau dari sudut sejarah perkembangan bahasa Melayu selanjutnya, inilah satu-satunya faktor utama yang telah menjadikannya satu bahasa yang mudah dipelajari, dan diterima sebagai bahasa perhubungan oleh orang-orang dsri berbagai-bagai masyarakat bahasa.
Istilah “Melayu” itu sangat baharu dijumpai daripada kesan-kesan sejarah. Istilah ini timbul buat pertama kalinya dalam tulisan Cina dalam tahun antara 644 dan 645 masihi. Tulisan itu menyebut orang Mo-lo-yeu yang mengirim utusan ke negeri China untuk mempersembahkan hasil-hasil bumi kepada raja China. Letaknya kerajaan Mo-lo-yeu ini tidak dapat dipastikan dengan tegas: ada yang menyatakan di Semenanjung Tanah Melayu dan ada mengatakan di Jambi, Sumetera. Walau bagaimanapun, sejarah menyatakan bahawa terdapat satu kerajaan Melayu yang menggunakan bahasa Melayu sebagai bahasa pemerintahan walaupun bukti yang konkrit tentang bentuk atau tulisannya belum dijumpai lagi.
Bukti konkrit yang pertama tentang bentuk dan sifat bahasa Melayu hanya terdapat sejak tahun 683, dengan terjumpanya beberapa batu bersurat yang mengandungi bahan-bahan bertulis yang mengikut setengah-setengah pendapat ditulis dalam bahasa, yang bentuk. Dan susunannya dapat dikatakan bahasa Melayu. Dan inilah suatu bukti catatan yang tertua sekali tentang bahasa Melayu itu.

1.2 Bahasa Melayu pada Batu-batu Bersurat Abad Ketujuh.
Batu-batu bersurat bukanlah satu perkara yang baru dijumpai di daerah kepulauan Melayu. Bekas-bekas tulisan telah dijumpai dan dipercayai bertarikh sejak tahun450 masihi, iaitu yang dijumpai di kaki-kaki gunung dekat Bogor dan di daerah Tanjung Periu dekat Jakarta. Teapi tulisan-tulisan pada batu tersebut didapati sama ada dalam bahasa Jawa Kuno atau Sanskrit.
Batu-batu bersurat yang menggunakan bahasa Melayu ialah yang dipercayai ditulis pada kira-kira abad ketujuh. Terdapat sebanyak empat batu bersurat yang penting, iaitu yang dijumpai:
1. di Kedukan Bukit, Palembang, (683 M)
2. di Talanh Tuwo, juga dekat Palembang, (684 M)
3. di Kota Kapur, Pulau Bangka, (686 M)
4. di Karang Brahi, Meringin, daerah hulu Jambi, (686 M).

1.3 Bahasa Melayu pada Zaman Kerajaan Sriwijaya
Apabila diperhatikan, tarikh dan isi kandungan batu-batu bersurat yang tersebut di atas dapat dikaitkan dengan zaman kerajaan Sriwijaya. Tarikh 683,684 dan 686 yang tercatat pada batu-batu tersebut amat penting kerana ini merupakan tarikh mula naiknya Kerajaan Sriwijaya, sebuah kerajaan tempatan yang kemudiannya berkembang luas mempengaruhi hampir seluruh kepulauan Melayu. Keempat-empat batu bersurat itu dijumpai di pusat kerajaan Sriwijaya dan isinya jelas menunjukkan bahawa tulisan itu dibuat di atas perintah raja. Dengan demikian, ini membuktikan bahawa bahasa Melayu telah digunakan sebagai bahasa kebangsan sebuah kerajaan yang besar dan luas jajahan takluknya yang pada saat kegemilangannya meliputi Sumatera, Jawa, Semenanjung Tanah Melayu, Tanah Genting Kera, dan Sri Lanka.
Hakikat kewujudan bahasa Melayu disokong dengan sumber daripada tulisan pengembara-pengembara Cina, yang telah singgah di kawasan ini di dalam pengembaraan mereka ke India. Berdasarkan sumber ini A. Teeuw (1952) telah menulis, “Maka dapatlah kita anggap sebagai satu hal yang pasti bahawa bahasa Melayu sudah dalam abad-abad berikutnya, dapat dan memang dipakai sebagai bahasa pengantar kebudayaan, sedang dalam hal-hal tertentu dipergunakan juga bahasa itu untuk keperluan sedemikian di dalam daerah-daerah yang bukan masuk daerah bahasa Melayu yang sesungguhnya”.

1.4 Bahasa Melayu dalam Zaman Melaka dan Selepasnya.
Zaman yang penting bagi bahasa Melayu ialah zaman Kerajaan Melaka, iaitu zaman keagungan kerajaan Melayu. Keagungan kerajaan Melayu Melaka jelas tergambar dalam Sejarah Melayu, satu-satunya magnum opus yang mengharumkan serta meletakkan imej bahasa Melayu ke mercu yang amat tinggi. Zaman ini bermula pada abad ketiga belas yang merupakan zaman peralihan bagi daerah Asia Tenggara secara keseluruhannya.
Pada masa itu, agama Islam mua bertapak, serentak dengan kebangkitan kerajaan Melayu Melaka. Percantuman dua semangat baharu membawa erti yang besar bagi masyarakat wilayah ini. Bahasa Melayu menjadi alat penyebaran agama Islam, satu agama yang tinggi darjah kebudayaannya.
Ini dijalankan dengan mudahnya melalui pengaruh politik Melayu pada masa itu. Hasil daripada faktor-faktor ini ialah perkembangan yang berlaku pada bahasa Melayu itu sendiri; bahasa Melayu mendapat satu bentuk tulisan baharu, iaitu tulisan Jawi. Perbendaharaan katanya bertambah dengan pesatnya, iaitu terbit daripada keperluan untuk memperkatakan idea-idea baharu yang dibawa oleh peradaban Islam. Yang paling penting ialah perkembangan bahasa Melayu dalam bidang kesusasteraan, bidang penggunaan bahasa sebagai alat penyampaian seni

No comments:

Post a Comment

KATA GANTI NAMA

KATA NAMA > KATA GANTI NAMA <<   KLIK SINI   untuk kembali ke halaman sebelumny...