Wednesday, August 1, 2018

laras bahasa melayu moden

PENGENALAN
Merurut Zainal Abidin Ahmad atau lebih dikenali sebagai Za’ba(1962), laras ialah rupa susuk bahasa yang dipakai apabila bercakap atau mengarang, iaitu tentang perkataannya, ikatan ayatnya, jalan bahasanya, cara susunannya, atau bentuk peribahasanya. Brian Seaton (1982) pula mendefinisikan laras bahasa sebagai satu variasi bahasa yang wujud daripada situasi yang berlainan seperti umur, jantina dan tajuk percakapan. Pendek kata, laras bahasa dapat diterangkan sebagai cara penggunaan sesuatu bahasa.
Terdapat juga tokoh-tokoh lain yang memberi definisi yang berbeza tentang maksud sebenar laras bahasa. Ferguson (1968), berpendapat bahawa laras bahasa merupakan satu ukuran bagi menentukan taraf kemajuan sesuatu bahasa itu. Ure dan Ellis(1977) pula mendefinisikan laras bahasa sebagai “ language patterning regularly used in a certain kind of situation,” iaitu pola-pola penggunaan bahasa yang lazim digunakan dalam keadaan-keadaan yang tertentu.
Nuwairi (1988), berpendapat bahawa laras bahasa mempunyai beberapa ciri khusus dan ini dapat diteliti pada perbendaharaan kata, susunan ayat dan frasa. .  Faktor-faktor penentu laras bahasa ialah seperti peranan pembicara, bilangan orang yang terlibat, status penutur dan pendengar dan latar pertuturan atau tajuk. Daripada satu segi, dapat dikatakan bahawa dengan memilih laras yang tidak sama untuk situasi-situasi yang berlainan, anggota masyarakat dapat menunjukkan bahawa mereka sedar akan situasi-situasi social yang berlainan wujud di sekitar mereka. (Astera, 2011)
Terdapat banyak jenis laras bahasa yang ada seperti laras bahasa iklan, laras bahasa sukan, laras bahasa teknikal, laras bahasa undang-undang dan laras bahasa kreatif. Dalam kerja khusus kursus Bahasa Melayu Kontekstual (GBM 1103), pelajar dikehendaki membuat satu kertas kerja mengenai satu jenis laras bahasa. Kertas kerja ini akan menerangkan laras bahasa klasik, ciri-ciri laras bahasa klasik, perbezaan laras bahasa lasik dengan laras bahasa moden, kepentingan dan kegunaan laras bahasa klasik, contoh laras bahasa klasik dan sebagainya.


ISI 1: CIRI-CIRI LARAS BAHASA KLASIK
Merujuk Kamus Dewan Edisi Keempat, laras bahasa adalah variasi bahasa berdasarkan penggunaannya.  Perkataan klasik pula bermaksud lama atau mempunyai sifat-sifat yang tidak terpakai serta tinggi atau abadi nilainya. Pendek kata, bahasa Melayu klasik merupakan sesuatu yang diakui penggunaannya pada suatu zaman dahulu. Laras bahasa ini mempunyai beberapa ciri yang membezakannya dengan laras bahasa yang lain.
Salah satu ciri laras bahasa klasik ialah laras bahasa klasik banyak menggunakan struktur ayat pasif atau ayat songsang dengan pendepanan predikat dan diikuti dengan subjek di belakangnya. Ayat-ayat di bawah ini dapat membuktikan kenyataan tersebut.
Setelah dilihat oleh Mansur Syah perihal itu, maka baginda pun…..
(Sulalatus Salatin, halaman 139)
Shahadan apabila di-dengar oleh Tuan Raffles akan segala hal-ehwal Itu…
(Hikayat Abdullah, halaman 106)
Ciri lain laras bahasa klasik ialah laras bahasa klasik juga memperlihatkan penggunaan bahasa istana.  Sebagai contohnya, perkataan-perkataan kata ganti nama seperti ‘patik’, ‘hamba’, ‘tuanku’ dan sebagainya digunakan. Perkataan kata kerja seperti ‘titah’ dan ‘sembah’ turut digunakan. Di samping itu, nama-nama jawatan seperti ‘laksamana’, ‘bendahara’ dan ‘hululabang’ turut diselitkan dalam laras bahasa klasik. Contoh teks laras bahasa klasik yang mempunyai bahasa istana adalah seperti yang di bawah.
Maka Sultan Mansur Syah pun semayam di balai kecil menghadap orang mengepung Hang Jebat itu.
(Sulalatus Salatin, halaman 139)
Maka kata Bendahara Seri Maharaja “Apa kehendak hati tuanku, katakanlah kepada patik.”
(Sulalatus Salatin, halaman 251)
Ciri seterusnya laras bahasa klasik ialah ayat yang digunakan dalam laras bahasa ini biasanya panjang, berulang-ulang dan berbelit-belit. Ayat yang dipersembahkan dalam cara ini mentebabkan pembaca sukar atau keliru dalam memahami maksud sebenar ayat tersebut ataupun mesej yang ingin disampaikan (Cikgu Bahri, 2015). Ayat di bawah ini merupakan contoh ayat laras bahasa klasik yang berbelit-belit dan sukar difahami.
Adapun hikayatnya terlalu amat lanjut; jika kami hikayatkan semuanya; jemu orang yang mendengar dia; maka kami simpankan juga, kerana perkataan yang amat lanjut itu tiada gemar bagi orang yang berakal adanya.
(Sulalatus Salatin, halaman 18)
Seperti yang dapat dilihat di atas, ayat yang panjang dan berbelit itu menyebabkan pembaca sukar memahami maksud sebenar ayat tersebut. Pembaca perlu membaca ayat tersebut beberapa kali untuk mendapatkan mesej yang ingin disampaikan. Tambahan pula, pengulangan perkataan yang mempunyai maksud yang sama juga wujud iaitu ‘terlalu’ dan ‘amat.’
Selain ciri-ciri di atas, laras bahasa klasik juga sering memperlihatkan penggunaan kata pangkal ayat. Contoh kata pangkal ayat ataupun praklausa yang sering digunakan ialah ‘maka,’ ‘hatta’, ‘alkisah’ dan sebagainya.  Perkataan-perkataan seperti ini sering digunakan di pangkal atau perdu ayat yang menggunakan laras bahasa klasik. Ciri ini dapat dilihat dalam ayat di bawah.
Syahadan datanglah ke Teluk Belang, maka kenaikan itu tiadalah tertimba lagi, lalu akan tenggelam.
(Sulalatus Salatin, halaman 39)
Sebagai intihanya, ada beberapa ciri yang dapat membezakan laras Bahasa klasik dengan laras bahasa yang lain. ‘Sudah terang, lagi bersuluh’ bahawa ciri-ciri ini menjadikan laras bahasa klasik satu laras bahasa yang unik dan harus dikekalkan sampai bila-bila.



ISI 2: PERBEZAAN LARAS BAHASA KLASIK DAN LARAS BAHASA MODEN
Laras bahasa klasik merupakan laras bahasa yang digunakan bermula dari awal abad ke-14 Masihi hingga ke akhir abad ke-18 Masihi (Abdul Rashid Melebek, Amat Juhari Moain, 2006). Sememangnya, terdapat beberapa perbezaan ketara yang dapat dilihat antara laras bahasa klasik yang telah digunakan pada zaman tersebut dengan laras bahasa moden yang menjadi cerah mencecah abad ke-20.
Salah satu perbezaan antara laras bahasa klasik dan laras bahasa moden ialah laras bahasa klasik lebih menggunakan ayat pasif. Penggunaan ayat pasif dalam laras bahasa klasik adalah disebabkan oleh pengaruh bahasa Arab yang meluas pada zaman dulu. Penggunaan ayat songsang dengan pendepanan predikat adalah disebabkan oleh pengaruh bahasa Arab dan ragam ayat pasif (Goay Teck, Choo Say Tee, Zainuddin Ahmad, 2007). Para pedagang dari negara Arab telah berdagang di samping menyebarkan agama Islam di seluruh nusantara termasuklah di negara kita. Mereka menggunakan bahasa Arab ketika bertutur dan keadaan ini telah menyebabkan Bahasa Melayu mengalami perubahan khususnya dalam penggunaan ayat pasif ini (Cikgu Bahri, 2015)
Ada juga beberapa pendapat lain tentang sebab ayat pasif kerap digunakan dalam laras bahasa klasik. Prof. St. Takdir Alisjahbana berpendapat bahawa kejadian itu disebabkan oleh cara hidup atau sikap pasif orang Melayu pada zaman silam. Bagaimanapun, ahli bahasa Awang Sariyan tidak bersetuju dengan pendapat itu, dan berasa bahawa pemilihan ayat pasif itu sebenarnya “mencerminkan budi dan peribadi orang Melayu yang tidak menekankan ego individu”. Menurutnya, “barangkali dengan perubahan nilai hidup moden, penulis sekarang lebih banyak menggunakan ayat aktif yang menekankan pelaku”.
Bahasa melayu klasik juga lebih banyak menggunakan kiasan dan perbandingan serta penggunaan laras bahasa puisi, seperti pantun, syair, seloka dan gurindam dalam karya prosa. Terdapat banyak kiasan dan penggunaan gaya bahasa puisi dalam hikayat-hikayat Melayu lama. Sifat sastera Melayu klasik itu sendiri pada asalnya dalam bentuk lisan dan penggunaan unsur-unsur tersebut dikatakan dapat menghidupkan suasana penceritaan.
Laras bahasa Melayu klasik juga sering menggunakan kata pangkal ayat atau praklausa seperti ‘hatta’, ‘alkisah’ dan sebagainya. Kata-kata seperti itu bukan sahaja digunakan untuk memulakan sesuatu perenggan, malah digunakan juga pada awal ayat-ayat dalam perenggan (Zaitul Azma, 2016). Perkataan-perkataan ini boleh dianggap sebagai pembuka bicara dalam ayat-ayat bahasa Melayu klasik. Hal ini dapat memperlihatkan nilai estetika atau keindahan dalam bahasa Melayu klasik yang pernah menjadi bahasa lingua franca pada suatu zaman dahulu (Cikgu Bahri, 2015). Walaubagaimanapun, laras bahasa moden pada hari ini tidak lagi menggunakan perkataan-perkataan pangkal ayat tersebut lagi. Hal ini demikian kerana perkataan-perkataan pangkal ayat ini dianggap klise atau usang (Zaitul Azma, 2016).

Seterusnya, ciri laras bahasa klasik yang panjang, berulang-ulang dan berbelit-belit menyukarkan pembaca memahami maksud sebenar sesuatu ayat tersebut. Kadang-kala, laras bahasa klasik juga memperlihatkan gabungan beberapa ayat tunggal yang dicantumkan dengan menggunakan kata-kata hubung yang tertentu, terutamanya “dan” dan “atau” ataupun dengan menggunakan tanda koma dan tanda koma bertitik sahaja. Hal ini telah menyebabkan pembaca perlu membaca ayat tersebut beberapa kali untuk memahami ayat tersebut. Dalam konteks bahasa Melayu moden, ayat yang digunakan lebih ringkas, padat dan tepat. Ciri ini menyebabkan laras bahasa moden menjadi sesuai dengan fungsinya untuk mengungkapkan konsep, idea, dan buah fikiran yang abstrak dan kompleks, yang melibatkan pelbagai bidang ilmu pengetahuan moden (Zaitul Azma, 2016).
Laras Bahasa klasik juga banyak memperlihatkan kosa kata bahasa Arab, Sanskrit dan klasik. Hal ini disebabkan oleh bahasa Melayu klasik yang menerima pengaruh bahasa Sanskrit dan bahasa Arab yang kukuh bertapak di kepulauan Melayu pada waktu itu. Antara perkataan-perkataan bahasa Melayu klasik yang menerima pengaruh bahasa Arab ialah ‘Allah Taala’, ‘makhdum’, ‘daulat’, ‘wallahualam’ dan ‘takzim.’ Di samping itu, antara perkataan yang menerima pengaruh bahasa Sanskrit ialah ‘dosa,’ ‘pahala’ dan ‘raja.’ Bahasa Melayu klasik juga menerima fonem Arab seperti ‘kh’, ‘dz’ dan ‘sy.’ Sebagai contohnya, perkataan-perkataan yang menggunakan fonem tersebut ialah ‘khamis,’ ‘zakat’ dan ‘syarat.’
Dalam konteks bahasa Melayu moden pula, pengaruh kedua-dua bahasa tersebut masih lagi wujud, terutamanya dari segi kosa katanya. Walau bagaimanapun, pengaruh bahasa Inggeris kini lebih dominan iaitu meliputi pelbagai aspek, seperti perbendaharaan kata umum, istilah, sistem morfologi dan struktur ayat. (Zaitul Azma, 2016).
Laras bahasa Melayu klasik juga kerap mempraktikkan penggunaan bahasa istana. Hal ini demikian kerana kebanyakan hasil penulisan bahasa Melayu klasik menceritakan kisah dan peristiwa yang dialami oleh kalangan raja di istana dalam bentuk karya sastera. Keadaan ini berbeza dengan bahasa Melayu moden yang berfungsi sebagai bahasa ilmu dan lebih banyak memperlihatkan penggunaan bahasa Melayu biasa yang mempunyai pelbagai laras.
Terdapat juga beberapa istilah yang digunakan dalam laras bahasa klasik yang digantikan dengan perkataan lain dalam laras bahasa moden. Contoh perkataan-perkataan tersebut terdapat dalam jadual di bawah.
BilBahasa Melayu KlasikBahasa Melayu Moden
1.BerahiCinta
2.GharibGanjil
3.Ratna mutu manikamBatu permata
4.MasygulDukacita, Sedih
5.AmarahMarah
6.CeriteraCerita

Kesimpulannya, terdapat beberapa perbezaan antara laras bahasa klasik dengan laras bahasa moden. Hal ini disebabkan oleh beberapa faktor seperti pengaruh luar yang berbeza, fungsi laras yang berbeza, perubahan zaman dan sebagainya. Walaubagaimanapun, tidak dapat dinafikan bahawa perubahan yang berlaku ini membawa kebaikan  Dalam konteks Malaysia, tempoh kira-kira setengah abad perancangan bahasa Melayu berlangsung, bahasa tersebut telah membuktikan kemampuannya sebagai bahasa moden yang duduk sama rendah dan berdiri sama tinggi dengan bahasa-bahasa moden yang lain. Segala ilmu moden dapat diungkapkan dan dikembangkan dalam bahasa Melayu, dengan tergubalnya kira-kira satu juta istilah dalam ratusan bidang ilmu dan professional pada hari ini (Awang Sariyan, 2005) Walaubagaimanapun, tidak dapat dinafikan bahawa bahasa Melayu klasik masih tidak dilupakan dan masih diajar kepada generasi muda dalam bentuk prosa tradisional dan puisi sebagai komponen sastera (KOMSAS) di sekolah.
ISI 3: KEPENTINGAN DAN PERANAN LARAS BAHASA KLASIK
Bahasa Melayu klasik muncul dan terpisah daripada bahasa Melayu kuno apabila mula wujud penggunaan tulisan Jawi, iaitu tulisan Arab berbahasa Melayu pada awal abad ke-14 (Abdul Rashid Melebek, Amat Juhari Moain, 2005) Terdapat beberapa definisi yang diberi oleh pengkaji bahasa tentang maksud laras bahasa klasik. Asmah Hj. Omar (1993) menyatakan bahawa ‘bahasa abad ketiga belas dan ketujuh belas itu dinamakan bahasa Melayu klasik. Ismail Husein (1966) pula berpendapat bahawa ‘pembahagian bahasa Melayu klasik dibuat mengikut zaman politik iaitu zaman Srivijaya, Majapahit, Melaka dan sebagainya.’
Bahasa Melayu klasik tersebar luas di beberapa bahagian dunia timur. Bahasa Melayu klasik bukan sahaja digunakan oleh orang Melayu tetapi juga oleh orang bukan Melayu terutamanya di Asia Tenggara. Bahasa Melayu klasik telah menjadi bahasa lingua franca di Asia Tenggara pada masa itu.
Di samping digunakan sebagai bahasa lingua franca, bahasa Melayu klasik juga menjadi bahasa yang penting untuk menyebarkan agama Islam di Asia Tenggara ini. Sebagai buktinya, kitab-kitab yang dikarang oleh ulama-ulama Asia Tenggara seperti Sahib-al-Muhtadin oleh Syeikh Muhammad Arsyad al-Banjari dan Furu’ al-Masa’il oleh Syeikh Muhammad Daud al-Fatani ditulis dalam Bahasa Melayu. Selain tentang agama seperti fiqh, al-hadith, tafsir al-Quran, tasawuf dan lain-lain lagi, kitab dan buku tersebut juga ditulis mengenai bidang yang lain seperti sejarah, hikayat, hal-ehwal haiwan, perdukunan dan perubatan Melayu, falsafah dan lain-lain lagi.
Pada zaman bahasa Melayu klasik, bahasa Melayu banyak dipelajari oleh orang bukan Melayu seperti orang Cina, India, Arab dan juga orang dari Barat seperti Portugis, Itali, Belanda, Inggeris, Perancis dan Sepanyol. Bahasa Melayu pada masa itu digunakan untuk tujuan perniagaan, perhubungan antara negara dan raja dan pengembangan ajaran agama terutama Islam dan Kristian. Hal ini telah membawa kepada kemunculan banyak buku dalam bentuk daftar kata seperti Cina-Melayu, Itali-Melayu, Melayu-Belanda, Melayu-Inggeris, kamus, buku tatabahasa dan hasil karya sastera Melayu.
Zaman bahasa Melayu klasik juga memperlihatkan berdirinya banyak kerajaan Melayu yang menggunakan bahasa Melayu sebagai bahasa pemerintahan seperti kerajaan Pasai-Samudera, Melaka, Johor-Lama, Johor-Pahang-Riau-Lingga, empayar Brunei, Patani, Ligor, Palembang, Kelantan, Terengganu dan lain-lain lagi. Tambahan lagi, ada empayar atau kerajaan bukan Melayu yang menggunakan bahasa Melayu sebagai bahasa pemerintahan. Sebagai contohnya, kerajaan Aceh di utara Sumatera menggunakan bahasa Melayu sebagai bahasa pemerintahan.
Berbanding dengan zaman bahasa Melayu kuno, zaman bahasa Melayu klasik menempuh kemajuan yang pesat. Perkembangan ilmu pengetahuan dan kegiatan intelektual dalam bahasa Melayu mencapai tahap yang tinggi pada masa itu. Pada akhir abad ke-16 Masihi, sudah ada hasil karya falsafah tawasuf dalam bahasa Melayu. Di samping itu, polemik ilmiah tentang falsafah, tawasuf dan ilmu agama telah berlaku pada awal abad ke-17. Hasil karya bersifat intelektual telah lahir akibat pengaruh Islam yang meresap masuk ke dalam bahasa dan budaya Melayu. Hasilnya, bahasa Melayu telah menjadi bahasa utama di Asia Tenggara untuk urusan pengembangan agama Islam dan juga menjadi antara enam bahasa dunia Islam, selain Arab, Farsi, Turki, Inggeris dan Hindi.
Penggunaan bahasa Melayu menjadi pesat pada zaman bahasa Melayu klasik. Hal ini demikian kerana pada masa itu, bahasa Melayu sudah berkemampuan berbanding bahasa lain dalam mengatasi masalah berkaitan dengan perhubungan antara negara dengan negara di Asia Tenggara sebagai alat perhubungan, perniagaan dan perdagangan, sebagai bahasa untuk pentadbiran dan pemerintahan serta untuk penyebaran agama. Bahasa Melayu klasik sampai di puncak keagungannya pada kira-kira 1750 Masihi.






PENUTUP
Sejak laras bahasa klasik diperkenalkan pada awal abad ke-14 Masihi, bahasa Melayu mengalami banyak perubahan dari segi kosa kata, struktur ayat dan bentuk tulisan. Bukti kewujudan bahasa Melayu klasik dapat dilihat melalui peninggalan tiga buah batu bersurat iaitu batu bersurat di Pagar Ruyung, Meningkabau bertarikh 1356 Masihi, batu bersurat di Minye Tujuh, Aceh bertarikh 1380 Masihi dan batu bersurat di Kuala Berang, Teregganu yang bertarikh 1303-1387 Masihi.  Ketiga-tiga batu bersurat ini penting dan merupakan bukti catatan terakhir perkembangan bahasa Melayu kerana selepas abad ke-14, muncul kesusasteraan Melayu dalam bentuk tulisan (Siti Hajar Abdul Aziz, 2011)
Bahasa Melayu klasik dapat dikatakan sebagai bahasa yang penting dan utama di rauntau Asia Tenggara pada zaman bahasa Melayu klasik. Bahasa Melayu klasik telah menjadi bahasa yang utama dan mencapai zaman kegemilangnya pada zaman tersebut. Bahasa Melayu klasik telah memainkan pelbagai peranan pada masa itu seperti sebagai bahasa lingua franca, bahasa untuk tujuan perniagaan, penyebaran agama, pemerintahan dan sebagainya.
Kesimpulannya, laras bahasa klasik merupakan salah satu laras bahasa yang penting dan tidak wajar dilupakan. Bahasa ini pernah menjadi bahasa utama suatu zaman dahulu dan masih diajar hingga ke hari ini kepada generasi muda. Dalam kertas kerja ini, definisi laras bahasa dan laras bahasa klasik, ciri-ciri laras bahasa klasik, perbezaan laras bahasa klasik dengan laras bahasa moden serta kepentingan dan peranan laras bahasa klasik telah diterangkan. Selain itu, contoh teks laras bahasa klasik telah disediakan untuk lebih pemahaman. Pendek kata, dapat dikatakan bahawa objektif kerja khusus ini telah dicapai. Melalui kerja khusus ini, banyak pengetahuan yang telah saya timba. Saya ingin mengucapkan terima kasih kepada pensyarah saya, Dr Siti Hajar Abdul Aziz atas bimbingan dan tunjuk ajar yang diberi oleh beliau. Saya juga ingin mengucapkan terima kasih kepada rakan-rakan saya yang telah membantu saya sepanjang perlaksanaan kerja khusus ini.


RUJUKAN
Abdul Aziz, S. (2016). Bahasa Melayu 1 (2nd ed.). Kuala Lumpur: Oxford Fajar Sdn. Bhd.

Abdul Rashid Melebek, & Amat Juhari Moain.,. (2006). Sejarah bahasa Melayu. Cheras, Kuala Lumpur: Utusan Publications & Distributors.

Azman, M. (2013). Laras bahasaSlideshare.net. Retrieved 24 January 2016, from http://www.slideshare.net/marzieta/laras-bahasa-29240922

Bahri, C. (2016). LAMAN CIKGU BAHRI: CIRI-CIRI BAHASA MELAYU KLASIK (SULALATUS SALATIN & HIKAYAT ABDULLAH)Lamancikgubahri.blogspot.my. Retrieved 30 January 2016, from http://lamancikgubahri.blogspot.my/2014/10/ciri-ciri-bahasa-melayu-klasik-dalam.html

Documents.tips,. (2015). laras bahasa – Documents. Retrieved 25 January 2016, from http://documents.tips/documents/laras-bahasa-55a0cec328e5b.html

Nua, C. (2010). Bahan Penulisan Cikgu Nua: LARAS BAHASABahanpenulisancikgunua.blogspot.my. Retrieved 24 January 2016, from http://bahanpenulisancikgunua.blogspot.my/2011/12/pengenalan-laras-bahasa-laras-bahasa.html

profile, V. (2012). pejuang: Perkembangan Bahasa Klasik (Kajian Lapangan)Azhar-pejuang.blogspot.my. Retrieved 30 January 2016, from http://azhar-pejuang.blogspot.my/2012/05/perkembangan-bahasa-klasik-kajian.html

  1. Nathesan.,. (1995). Laras bahasa ilmiah. Kuala Lumpur: Dewan Bahasa dan Pustaka, Kementerian Pendidikan.

Silv, V. (2014). LARAS BAHASAMy Blog – Viani Silv. Retrieved 24 January 2016, from    https://vianisilv.wordpress.com/2014/10/17/laras-bahasa-2/

No comments:

Post a Comment

KATA GANTI NAMA

KATA NAMA > KATA GANTI NAMA <<   KLIK SINI   untuk kembali ke halaman sebelumny...