Wednesday, August 1, 2018

pemupukan bahasa melayu

(Apa yang ditulis di bawah merupakan petikan yang diambil daripada Tatabahasa Dewan Edisi Ketiga, muka surat 26. Aku tidak mengolah mana-mana ayat yang ditulis, maka yang di bawah ini adalah asli. Aku mahu berkongsi dan menyebarkan ilmu sahaja.)

Pemupukan bererti menumpukan perhatian pada usaha-usaha untuk mengembangkan bahasa supaya tercapai keadaan saling terjemah dengan beberapa bahasa moden lain. Ini dilaksanakan terutamanya dengan pemupukan istilah-istilah baharu, khususnya istilah dalam bidang-bidang teknikal.

Perkara ini telah dilaksanakan dengan jayanya bagi bahasa Melayu oleh seluruh rakyat Malaysia, terutamanya melalui perancangan yang teratur dan terarah oleh Dewan Bahasa dan Pustaka. Sejak tahun 1956, satu bahagian khas telah ditubuhkan di badan tersebut yang tugas utamanya melaksanakan pembentukan istilah baharu. Jawatankuasa-jawatankuasa istilah dibentuk, dan hingga kini, lebih 600 ribu istilah teknikal telah dicipta meliputi berbagai-bagai bidang ilmu dan disiplin. Bahasa Melayu hari ini dapat memperkatakan semua bidang, daripada kejuruteraan, kedoktoran, dan sains angkasa lepas hingga kepada sains rumah tangga, kehakiman, dan seni halus. Bahasa yang digunakan dalam tiap-tiap bidang ini mempunyai bentuk yang khusus atau tertentu yang disebut laras bahasa.

Jumlah laras bahasa Melayu kini, berbanding dengan jumlahnya 30 tahun dahulu, telah berlipat ganda. Persoalan laras bahasa ini akan dibincangkan dalam bab berikut.

No comments:

Post a Comment

KATA GANTI NAMA

KATA NAMA > KATA GANTI NAMA <<   KLIK SINI   untuk kembali ke halaman sebelumny...