RAGAM DAN GAYA BAHASA MELAYU
RAGAM DAN GAYA BAHASA MELAYU
1.0 Pengenalan
Malaysia dan Nusantara mempunyai bahasa pertuturan tersendiri iaitu bahasa Melayu. Bahasa Melayu telah menjadi lingua franca sejak lebih 600 tahun lalu, lebih lama daripada bahasa Inggeris yang hanya bermula pada pertengahan kurun ke-16. Sejak tahun 1955, bahasa Melayu telah dinobatkan sebagai bahasa kebangsaan negara dan telah menjadi bahasa rasmi sejak merdeka. Pada tahun 1967, bahasa Melayu telah menjadi bahasa kebangsaan dan bahasa rasmi yang termaktub dalam Perlembagaan Malaysia iaitu Perkara 152.
Pandangan sarwa mengandaikan bahasa Melayu merupakan aset negara yang begitu bernilai ekoran daripada peranannya yang melambangkan identiti bangsa dan negara Malaysia. Jika ditelusuri, bahasa Melayu memainkan peranan yang begitu penting dalam mencapai aspirasi negara yang mendambakan kemajuan bahasa seiring dengan kemodenan arus pembangunan. “Tidak lapuk dek hujan, tidak lekang dek panas” merupakan peribahasa yang sering meniti dibibir masyarakat apabila membicarakan hal berkaitan dengan bahasa Melayu kerana masyarakat konvensional menginginkan martabat bahasa Melayu sentiasa dijulang dan diguna sepanjang zaman.
Relevan dengan kehendak zaman, seantero dunia mendambakan bahasa rasmi negara menjadi gah dipersada dunia dan menjadi salah sebuah bahasa antarabangsa seperti bahasa Inggeris yang digunakan di seluruh pelosok dunia tidak kiralah dalam hal pentadbiran mahupun komunikasi. Rentetan daripada senario tersebut negara Malaysia juga tidak terkecuali dalam membina hasrat untuk memartabatkan dan menjadikan bahasa Melayu sebagai bahasa yang unggul setanding dengan bahasa Inggeris dan seterusnya diguna pakai di peringkat antarabangsa. Maka, negara menggalakkan masyarakat untuk meluaskan horizon pemikiran dan menggunakan pelbagai inisiatif untuk terus mempelajari dan mengkaji hal berkaitan bahasa Melayu seperti mempelajari ragam dan gaya bahasa Melayu yang begitu sinonim dalam pengajian Melayu.
2.0 Konsep Ragam Bahasa
Ragam Bahasa Melayu merupakan ciri–ciri gaya penceritaan istimewa yang digunakan untuk sesuatu jenis bidang. Ciri–ciri istimewa itulah yang membolehkan kita segera dapat menjangka apa yang menjadi topik atau tajuk utama sesuatu teks sebaik–baik membaca ayat pertama. Sebagai contoh, permulaan ayat yang bermula dengan ‘alkisah’ atau ‘pada suatu zaman dahulu’, jelas menunjukkan bahawa pengarang ingin menyampaikan sebuah cerita klasik.
Menurut Asmah Haji Omar (1987:47) menjelaskan ragam bahasa didasarkan kepada ciri–ciri khusus dalam penggunaan bahasa menurut bidang penggunaannya. Manakala Bachman (1990) mendefinisikan ragam bahasa sebagai variasi bahasa menurut pemakaian, yang berbeza–beza, topik yang dibicarakan, hubungan pembicara, kawan bicara dan orang yang dibicarakan serta medium pembicara.
Ragam bahasa adalah variasi bahasa yang berasaskan pemakaian atau penggunaannya, terutamanya yang berkaitan dengan konteks dan situasi yang tertentu. Nik Safiah Karim et al. (1996:31) menyatakan bahawa Za’ba, dalam bukunya Ilmu Mengarang Melayu, membincangkan ragam bahasa dalam dua bab iaitu gaya cakap mulut yang bererti bahasa Melayu lisan dan gaya surat iaitu bahasa Melayu tulisan. Ragam bahasa Melayu boleh dibahagikan kepada ragam bahasa formal dan tidak formal.
2.1 Konsep Bahasa Formal
Ragam bahasa formal ialah bahasa yang digunakan dalam situasi rasmi seperti urusan surat–menyurat, semasa proses pengajaran dan pembelajaran dan semasa bertutur dengan orang yang lebih tinggi pangkat atau statusnya. Jika ditelusuri, bahasa formal mengambil kira sebutan, intonasi, pilihan perkataan, nahu, penggunaan peribahasa dan budaya sesuatu bahasa itu sepenuhnya.
Bahasa formal merujuk kepada penggunaan bahasa yang lebih teratur, lengkap dan memerlukan segala strategi pertuturan untuk memberi gambaran yang beradat serta hormat dalam konteks formal. Sebagai contoh, “Awak sangat degil. Saya telah berkali–kali memberi amaran supaya jangan pergi ke tempat itu, tetapi awak masih hendak ke sana”. Contoh tersebut jelas menunjukkan bahawa ayat tersebut mementingkan aspek–aspek intonasi, pilihan perkataan, struktur ayat dan tatabahsa.
Pasti muncul pelbagai soalan dikotak fikiran masyarakat bahawa adakah bahasa formal persis dengan bahasa rasmi? Sebenarnya, bahasa rasmi dan bahasa formal merupakan suatu perkara yang berbeza. Bahasa rasmi menyatakan taraf sesuatu bahasa, manakala bahasa formal merujuk kepada keadaan penggunaan sesuatu bahasa. Bahasa formal biasanya memerlukan penggunaan nahu yang lengkap dan tidak melanggar hukum tatabahasa Melayu. Selain itu, bahasa Melayu juga memerlukan intonasi yang sempurna dan bersesuaian dengan konteks. Terdapat dua contoh yang tergolong dalam bahasa formal iaitu bahasa baku dan bahasa istana.
2.1.1 Bahasa Baku
Bahasa baku ialah variasi bahasa yang digunakan untuk berhubung apabila penutur pelbagai dialek berkumpul. Mengikut sejarah, variasi bahasa Melayu baku diambil berasaskan dialek bahasa Johor Riau ekoran daripada penggunaannya yang lebih meluas berbanding dialek lain. Bahasa baku menjadi dasar atau kriteria untuk menentukan ketepatan bahasa yang digunakan dan juga diistilahkan sebagai bahasa standard. Di samping itu, bahasa baku digunakan dalam urusan rasmi seperti pendidikan, pentadbiran, kesusasteraan dan penulisan.
2.1.2 Bahasa Istana
Bahasa istana ialah bentuk bahasa yang digunakan dalam kalangan kerabat diraja apabila berhubung atau berkomunikasi dengan kerabat diraja dan apabila menyebut hal ehwal berkenaan raja. Bahasa istana masih digunakan hari ini walaupun sistem feudal lama hanya tinggal sejarah.
Bahasa istana mungkin berasal daripada bahasa yang sama tetapi mempunyai kosa kata yang berlainan atau penggunaan bahasa yang berbeza sama sekali. Sebagai contoh, wangsa Seuna yang pernah memerintah negeri Karnataka menggunakan bahasa Kannada dan bukannya bahasa Sanskrit sebagai bahasa istana, atau bahasa Arab yang menjadi bahasa istana di Parsi apabila negara tersebut ditakluki oleh orang Arab.
Sementara bahasa yang sama dengan kosa kata yang berlainan wujud dalam bahasa Melayu seperti “Nyōbō kotoba” iaitu sistem bahasa istana bagi bahasa Jepun, bahasa Jawa dan banyak lagi termasuklah bahasa Inggeris.
3.0 Bahasa Tidak Formal
Bahasa tidak formal merupakan bahasa yang digunakan dalam situasi tidak rasmi seperti dalam perbualan seharian, khususnya dengan orang yang kita kenal mesra. Selain itu, bahasa yang tidak formal juga ialah bahasa yang digunakan dengan tidak mengambil kira sebutan, intonasi, pilihan perkataan, nahu, penggunaan peribahasa dan budaya sesuatu bahasa itu sepenuhnya.
Bahasa tidak formal dapat dilihat melalui cirinya yang ketara iaitu percampuran kod. Kod dalam bahasa ialah unsur–unsur bahasa yang digunakan dalam perhubungan, umumnya perkataan atau sebarang unsur bahasa lain. Percampuran kod merupakan salah satu ciri yang paling menonjol dalam bahasa Melayu tidak formal. Sebenarnya percampuran kod berbeza dengan pertukaran kod. Pertukaran kod ialah penggunaan bahasa yang rapi dan terkawal. Cuma satu bahasa atau kod lain digunakan untuk memberikan suatu kesan tertentu. Misalnya, “I suka menggunakan computer kerana ia sophisticated dan mempercepatkan kerja–kerja pejabat I yang bertimbun–timbun.”Terdapat beberapa contoh yang tergolong dalam bahasa tidak formal iaitu bahasa basahan, bahasa pasar dan bahasa halus.
3.1 Bahasa Basahan
Jika ditelusuri, bahasa basahan juga dikenali sebagai bahasa kolokial. Pendeta Za’ba menggelar bahasa ini sebagai bahasa cakap mulut. Bahasa ini juga merupakan bahasa pertuturan harian dalam konteks tidak rasmi. Terdapat tiga jenis perbezaan antara bahasa baku dengan bahasa basahan iaitu dari aspek perkataan berbeza untuk makna yang serupa. Misalnya, perkataan ‘mengapa’ digunakan untuk bahasa baku manakala perkataan ‘kenapa’ digunakan sebagai bahasa basahan. Perbezaan yang kedua ialah dari aspek bentuk kependekan dan hal ini dapat dilihat dari perkataan ‘hendak’ dalam bahasa baku manakala perkataan ‘nak’ digunakan dalam bahasa basahan. Seterusnya, perbezaan perubahan bunyi yang jelas didengar apabila menuturkan bahasa basahan dan bahasa baku. Sebagai contoh, perkataan yang digunakan dalam bahasa baku ialah ‘ambil’ manakala dalam bahasa basahan pula ialah ‘ambik’.
3.2 Bahasa Pasar
Bahasa pasar ialah bahasa asimilasi antara bahasa Melayu dengan bahasa–bahasa bukan Melayu dan pelat penyebutannya dipengaruhi oleh pelat bahasa ibunda penutur. Selain itu, bahasa ini juga dianggap tidak gramatis kerana mengabaikan hukum DM dan penggunaan penjodoh bilangan. Sebagai contoh, penggunaan perkataan ‘gua’ untuk menggantikan ‘saya’ dan menggunakan perkataan ‘banyak’ sebagai kata penguat seperti ‘banyak cantik’. Seterusnya, bahasa pasar juga sering menggunakan perkataan ‘punya’ seperti ‘apa punya budak’.
3.3 Bahasa Halus
Bahasa halus wujud kerana pertimbangan terhadap orang yang dilawan bertutur. Kedudukan, pangkat dan umur serta keakraban orang yang dilawan bertutur mempengaruhi pemilihan perkataan dan kata ganti nama. Sebenarnya, bahasa halus juga ada kalanya digunakan dalam surat–menyurat apabila kata–kata yang sopan digunakan. Kata ganti nama diri merupakan aspek yang penting ekoran daripada pengggunaan perkataan anakanda, ayahanda, adinda, kekanda, bonda dan nenda. Bahasa kiasan dan peribahasa digunakan dengan meluas untuk menyatakan sesuatu secara halus atau tidak berterus terang. Misalnya, perkataan buang air besar, berbulan madu dan berbadan dua.
3.4 Perbezaan antara Bahasa Formal danTidak Formal
Terdapat banyak perbezaan di antara bahasa formal dan tidak formal. Bahasa formal dan tidak formal ini bertentangan dalam kebanyakan hal. Kedua–dua ragam bahasa ini dapat ditinjau daripada beberapa aspek.
3.4.1 Ganti Nama
Bahasa formal tidak menggunakan nama sendiri untuk menggantikan saya. Sebagai contoh, “Saya tidak mahu ke bandar seorang diri.” Manakala dalam bahasa tidak formal, nama sendiri digunakan bagi ganti nama orang pertama. Kadang kala ganti nama bahasa Inggeris ‘I’ dan ‘you’ digunakan untuk menggambarkan unsur kemesraan antara sahabat karib. Contohnya, “Imah tak mau ke bandar sorang–sorang.”
3.4.2 Penggunaan Gelaran
Penggunaan kata gelaran dalam bahasa formal digunakan selengkap–lengkapnya. Kata gelaran hormat seperti encik, puan, tuan gelaran nama profesion seperti Dr., Inspektor, Cikgu dan sebagainya akan digunakan sepenuhnya dalam perbualan formal. Misalnya, “Encik tinggal dengan siapa? Tidakkah encik berasa sunyi tinggal seorang diri?”. Manakala tidak terdapat kata gelaran lengkap yang digunakan dalam bahasa tidak formal. Contohnya, “Pakcik duduk dengan sapa? Tak sunyi ke pakcik duduk sorang–sorang?”
3.4.3 Unsur Kependekan
Bahasa formal menggunakan unsur–unsur yang lebih lengkap dan sempurna, manakala bahasa tidak formal sering menggunakan unsur kependekan. Contoh ayat yang digunakan dalam bahasa formal ialah “Saya tinggal di Petaling Jaya. Di sini ada pasar malam. Kami boleh membeli segala macam keperluan.” Ayat bahasa tidak formal pula ialah “Makcik tinggal di P.J. kan! Kat sini ada pasar malam! Kita boleh beli macam–macam kan!”
3.4.4 Unsur ‘lah’
Bahasa formal akan berbunyi janggal dengan penggunaan ‘lah’. Misalnya, “Saya tidak peduli berapa set saya perlu bermain, yang penting saya mesti menang.” Unsur ‘lah’ sering timbul dalam bahasa tidak formal, malah ini merupakan suatu penanda mesra yang agak jelas. Sebagai contoh, “Saya tidak kisahlah, tiga set pun tak kisahlah, saya kira mesti menang sajalah.”
3.4.5 Percampuran Kod
Percampuran kod, atau umumnya penggunaan kata–kata daripada bahasa lain seperti Cina, Arab dan India semasa bertutur juga menunjukkan bahasa itu lebih mesra dan tidak bersifat formal. Contoh ayat yang digunakan dalam bahasa formal adalah seperti “Saya tidak dapat menjemput anak saya dari sekolah hari ini kerana terpaksa menghadiri mesyuarat PIBG.”, manakala ayat dalam bahasa tidak formal ialah “I tak boleh ambek anak I from school hari ni. I ada PTA meeting.”
3.4.6 Intonasi
Intonasi bahasa mesra, oleh sebab mengiringi ungkapan–ungkapan yang lebih pendek, selalunya tidaklah memberi pola sepenuhnya. Pola–pola bahasa formal akan lebih lengkap dan menggambarkan dengan jelas pola–pola tertentu seperti ayat penyata, ayat tanya, ayat perintah, ayat seru dan lain–lain. Hal ini merupakan aspek yang kurang dihuraikan dalam bahasa kita untuk digambarkan dengan lengkap di sini.
4.0 Konsep Gaya Bahasa
Kamus Linguistik (1997:83) mendefinisikan gaya bahasa sebagai penggunaan bahasa seseorang dalam pertuturan atau penulisan dengan penggunaan ragam tertentu dalam bahasa tulisan secara sengaja untuk menimbulkan kesan tertentu atau ciri penggunaan bahasa sekelompok penulis. Menurut Kridalaksana (1984:57) pula menjelaskan gaya bahasa ialah pemanfaatan atas kekayaan bahasa oleh seseorang dalam bertutur atau menulis. Maksud lain ialah pemakaian ragam tertentu untuk memperoleh efek-efek tertentu.
Bagi maksud gaya bahasa, Umar Junus (2010) menghuraikannya sebagai cara menyatakan sesuatu yang lain daripada biasa tanpa kelainan makna. Menurut Rahman Shaari (1993) pula, gaya bahasa terhasil melalui tulisan. Jika penulis tidak mampu memilih cara yang sesuai untuk menyampaikan fikirannya, maka karya itu dikategorikan sebagai tidak bergaya. Menurut beliau lagi, adalah mustahil seseorang itu menulis sebuah karangan tidak menggunakan ayat transformasi.
Menurut Maniyamin Hj Ibrahim (2006:38) pula menjelaskan bahawa gaya bahasa terbit daripada usaha penulis memanipulasi bahasa yang sedia ada. Tujuan manipulasi bahasa dilakukan adalah untuk mencari perkataan atau ungkapan atau frasa yang serasi dengan mesej di samping menghasilkan keindahan bunyi perkataan atau ungkapan atau frasa dalam karya dan menimbulkan kesegaran dan keberkesanan karya kepada pembaca atau pendengar.
Jika ditelusuri, terdapat pelbagai jenis gaya bahasa yang wujud dan digunakan dalam penulisan karangan dan puisi. Antara gaya bahasa tersebut ialah simpulan bahasa, perumpaan, bidalan, metafora dan hiperbola serta personifikasi.
4.1 Simpulan Bahasa
Simpulan bahasa merupakan kelompok kata yang mempunyai susunan yang tetap. Selain itu, mengandungi juga maksud yang berlainan daripada makna perkataan yang membentuknya. Simpulan bahasa merupakan gaya bahasa yang paling ringkas dan biasanya terdiri daripada dua perkataan dan mempunyai makna tersirat. Sebagai contoh, ‘akal panjang’ yang memberi maksud seseorang yang berfikiran tinggi dan mempunyai banyak idea, ‘bau–bau bacang’ iaitu pertalian keluarga yang jauh dan ‘muka tembok’ membawa maksud seseorang yang tidak tahu malu.
4.2 Perumpamaan
Perumpamaan merupakan salah satu jenis peribahasa yang membandingkan sesuatu dengan yang lain. Biasanya maksud perumpamaan berlainan daripada kelompok kata yang membentuknya. Pada umumnya, perumpamaan menggunakan kata–kata bandingan iaitu bagai, ibarat, laksana, seperti dan umpama. Misalnya, ‘seperti anjing dengan kucing’ yang membawa maksud dua orang yang sering bertengkar apabila bertemu. Contoh yang lain ialah ‘bagai tikus membaiki labu’ yang bermaksud merosakkan lagi barang yang dibaikinya.
4.3 Bidalan
Bidalan ialah susunan kata-kata yang telah digunakan umum dalam masyarakat Melayu dan terkandung perbandingan, teladan dan pengajaran. Ciri–ciri yang membezakan bidalan dan pepatah ialah bidalan mengandungi perkataan jangan, hendaklah, usah, biar dan ingat. Contoh bidalan seperti ‘jangan bawa resmi jagung, makin berisi makin tegak’ yang bermaksud semakin kaya semakin sombong. Contoh seterusnya pula ialah ‘baik bawa resmi padi, jangan bawa resmi lalang’ yang membawa maksud kita hendaklah merendah diri dengan kelebihan yang dimiliki dan bukan menjadi sombong.
4.4 Metafora
Metafora ialah gabungan daripada dua kata iaitu ‘meta’ bermaksud memindahkan dan ‘pherein’ yang bermakna membawa. Perkataan metafora berasal daripada bahasa Yunani dan biasanya mengandungi satu kata konkrit dan satu kata abstrak iaitu perbandingan tidak terus (Nik Hassan Basri Ab. Kadir, 2005: 360-361). Sebagai contohnya ialah peti kenangan dan lipatan ingatan.
4.5 Hiperbola
Hiperbola ialah perkataan yang berasal daripada bahasa Yunani. Kata majmuk ini terbina melalui gabungan perkataan ‘hyper’ yang bermaksud melebihi dan ‘ballien’ yang bererti luahkan atau keluarkan. Hiperbola merupakan salah satu daripada kelompok gaya bahasa pertentangan iaitu sejenis gaya bahasa yang mengandungi kenyataan tentang sesuatu perkara secara berlebih–lebihan atau secara melampau waima dari segi jumlah, ukuran dan sifatnya. Tujuannya adalah untuk memberi penekanan maksud terhadap sesuatu perkara atau situasi demi memperhebat, meningkatkan kesan dan pengaruhnya (Nik Hassan Basri Nik Ab. Kadir, 2005: 347-349).
4.6 Personifikasi
Perkataan personifikasi berasal daripada bahasa Latin. Perkataan ini merupakan cantuman dua perkataan iaitu ‘persona’ dan ‘fic’. Perkataan ‘persona’ bermaksud orang, pelaku, atau topeng yang dipakai dalam persembahan drama. Manakala ‘fic’ ialah perkataan yang bererti membuat (Nik Hassan Basri Nik Ab. Kadir, 2005:368). Perkataan personifikasi itu dikaitkan dengan segala sifat yang dimiliki oleh manusia bagi segala macam benda yang tidak bernyawa.
Maka, personifikasi ialah sejenis gaya bahasa perbandingan iaitu penginsanan atau pemberian ciri–ciri peribadi orang atau sifat–sifat manusia kepada sesuatu benda, binatang, tumbuh–tumbuhan, keadaan, peristiwa, barang yang tidak bernyawa atau idea yang abstrak. Contohnya seperti ‘cahaya di sebalik kabus yang sentiasa member harapan’, ‘cuaca yang begitu dingin menggigit’ dan ‘senja merangkak tua’.
5.0 Kesimpulan
Konklusinya, ragam dan gaya bahasa Melayu merupakan simbiosis dalam bahasa Melayu yang tidak boleh dinafikan kewujudan dan kehebatannya dalam melahirkan sebuah bahasa yang begitu indah ekoran daripada fungsinya yang saling melengkapi antara satu sama lain. Maka, persefahaman antara masyarakat konvensional amat penting dan mereka harus berganding bahu membina impian masa depan bahasa Melayu dengan mengkaji dan mempelajari ragam dan gaya bahasa Melayu sekaligus memartabatkan bahasa kebangsaan kerana masyarakat merupakan mekanisme kawalan yang menggerakkan sesuatu pelaksanaan agar bahasa Melayu dijulang oleh masyarakat seantero dunia.
Adalah diharapkan pihak berwajib seperti Dewan Bahasa dan Pustaka memelihara dan memantau serta lebih prihatin terhadap masalah–masalah atau kekeliruan yang timbul berkaitan dengan bahasa Melayu kerana tanpa pemantauan dan sikap prihatin pihak berwajib, penggunaan bahasa Melayu dikhuatiri akan disalahgunakan dan dipermain-mainkan oleh golongan masyarakat yang senteng akal dan rendah moralnya. Jika masyarakat hanya menopang dagu dan memandang enteng terhadap kepentingan bahasa Melayu, kemungkinan besar bahasa kebangsaan Malaysia akan lenyap dan hapus ditelan zaman. Oleh itu, kita tidak mahu bahasa kebangsaan hancur maruah dan keunggulannya kerana bahasa melambangkan identiti serta kemegahan sesebuah negara sehingga seluruh dunia berasa cemburu terhadap kejayaan dan kemajuan bahasa dan bangsa yang dikecapi oleh negara Malaysia.
No comments:
Post a Comment